ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghantar tiga tan bekalan perubatan untuk menyokong sektor jagaan kesihatan dan kemudahan perubatan, susulan perkembangan terkini di Khan Younis, Gaza.
Matlamatnya adalah demi memastikan perkhidmatan perubatan diberikan kepada mangsa yang cedera, pesakit dan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Bantuan perubatan itu termasuk bekalan perubatan penting untuk hospital yang menghadapi kekurangan, ubat untuk merawat pelbagai kecederaan, insulin untuk pesakit kencing manis dan sumber lain untuk mengukuhkan sistem jagaan kesihatan ketika situasi kritikal ini.
UAE dengan kerjasama pelbagai hospital dan organisasi perubatan antarabangsa menyasarkan untuk meningkatkan situasi penjagaan kesihatan di Gaza, selepas menjadi semakin teruk akibat konflik.
Serangan Israel sejak 7 Okotber, tahun lalu, menyebabkan puluhan hospital tidak berfungsi akibat musnah, kekurangan perubatan serta bekalan yang mencukupi untuk memberikan perkhidmatan perubatan kepada pesakit.
UAE menyediakan beberapa siri bantuan perubatan kepada hospital di Gaza, termasuk 10 ambulans yang dilengkapi dengan semua kemampuan moden.-AGENSI