BERLIN: Jurulatih Turkiye, Vicenzo Montella berkata pasukannya layak dihormati walaupun tewas 1-2 kepada Belanda pada aksi suku akhir sekali gus tersingkir daripada Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
Turkiye layak ke suku akhir di kejohanan utama buat kali pertama sejak 2008 terlebih dahulu berada di depan menerusi tandukan Samet Akaydin.
Bagaimanapun gol penyamaan Stefan de Vrij serta jaringan sendiri pertahanan Turkiye, Mert Muldur telah membuka ruang kepada Belanda mara ke separuh akhir untuk bertemu England.
“Pasukan bermain dengan semangat hebat, semangat Turkiye, di sebalik kekalahan ini rakyat Turkiye sayangkan kami.
“Pemain membuatkan kami berasa bangga bermain di Euro. Saya juga mahu menambah sesuatu – selepas Euro 2024, Turkiye akan dilihat daripada sudut pandangan berbeza pada masa hadapan, mungkin dengan lebih hormat,” katanya.
Montella berkata walaupun pasukannya mensia-siakan kelebihan yang dimiliki dan tidak menghalang Belanda, mereka tiada masa untuk mengkritik diri sendiri.
“Buat masa ini lebih mengingati semula apa yang berlaku dengan baik. Saya tidak kesal, pemain juga sepatutnya…kami menang tiga perlawanan di Euro jadi kami menyamai rekod Turkiye,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai persembahan Arda Guler yang membantu Akaydin menjaringkan gol, Montella mengakui pemain Real Madrid itu mempunyai masa depan yang cerah.
“Dia beraksi satu Euro yang hebat… dia belum lagi berusia 20 tahun, masa depan cerah buatnya dan pengalaman ini akan menjadikannya seorang pemain yang lebih bagus,” kata Montella.–AFP