PETALING JAYA: Setelah sekian lama berdiam diri namun segala janji tidak ditunaikan pihak Kuala Lumpur (KL) City menyebabkan tonggak pasukan itu, Paulo Josue tampil meluahkan bebanan yang sedang ditanggungnya.
Menurutnya, dirinya tidak menerima sebarang gaji sejak Disember tahun lalu dan terpaksa menggunakan duit simpanan untuk meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur.
“Benar saya tidak menerima gaji selama tujuh bulan dan kali terakhir dapat gaji pada November tahun lalu.
“Saya sayangkan pasukan ini tetapi apa yang berlaku ketika ini tidak boleh dibiarkan. Perbincangan dengan pengurusan kelab telah dibuat beberapa kali tetapi mereka hanya berjanji tetapi tiada sebarang bayaran.
“Bukan saya saja mengalaminya termasuk pemain lain tetapi, barisan jurulatih, kit man dan semua yang berada dalam pasukan alami situasi sama,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Jelas pemain naturalisasi Harimau Malaya itu, panggilan bermain bersama pasukan kebangsaan sedikit sebanyak membantu perbelanjaan hariannya.
“Apabila bermain dengan pasukan negara ada elaun dan bonus, ia dapat ringankan sedikit beban perbelanjaan saya. Hidup di Kuala Lumpur belanja agak besar dan saya harap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” jelasnya.
Pemain kelahiran Brazil itu telah mewakili KL City sejak 2017 dan telah membantu pasukan itu meraih beberapa kejuaraan antaranya memenangi Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada 2021 dan membawa The City Boys beraksi di final Piala AFC 2022.-UTUSAN