TAIPEI: Taufan Gaemi melanda daerah Yilan, timur laut Taiwan awal hari ini, mengakibatkan tiga terkorban manakala 266 yang lain cedera.
Pusat Operasi Kecemasan Taiwan melaporkan, taufan tersebut yang membawa angin kuat selaju 205 kilometer sejam dikategorikan sebagai ribut tropika kategori tiga.
Menurut laporan CNN yang memetik agensi tersebut, di bandar Kaohsiung, seorang penunggang motosikal wanita maut dihempap pokok tumbang.
Sementara itu, kematian kedua juga melibatkan seorang wanita dilaporkan berlaku di Hualien apabila mangsa terkena serpihan bumbung yang melayang.
Agensi itu melaporkan, seorang pemimpin tempatan pula maut selepas sebuah jengkaut yang dinaikinya terbalik di New Taipei.
Gaemi bergerak merentasi Selat Taiwan ke wilayah Fujian China, hari ini selepas semalaman membadai negara ini.
Taiwan semalam menghentikan pasaran dagangan dan menutup sesi persekolahan sebagai persediaan menghadapi Taufan Gaemi.
Hujan lebat mula berlaku di beberapa tempat, dengan jalan-jalan di ibu kota Taipei hampir lengang semasa waktu puncak. – AGENSI