PARIS: Seorang wartawan foto dari Lebanon yang cedera parah akibat serangan Israel di selatan negara itu, tetap bersemangat membawa obor Olimpik di Paris.
Semangat berkobar-kobar itu dizahirkan sebagai tanda menghormati wartawan yang cedera dan terbunuh di lapangan.
Christina Assi ialah wartawan dari agensi berita Agence France-Presse (AFP) yang menjadi mangsa serangan tembakan Israel pada 13 Oktober, tahun lalu.
Dia bersama sekumpulan wartawan lain mengalami kecederaan akibat terkena tembakan di sepanjang sempadan antara Israel dengan pejuang Hizbullah.
Assi cedera parah akibat serangan itu, sehingga menyebabkan sebahagian kaki kanannya dipotong.
Serangan itu turut mengorbankan juruvideo Reuters, Issam Abdallah.
Pada November tahun lalu, Rabih al-Maamari dan Farah Omar dari rangkaian televisyen Al-Mayadeen terbunuh dalam serangan dron Israel di selatan Lebanon, ketika membuat liputan mengenai konflik itu.