KHARTOUM : Golongan wanita di sebuah bandar di Sudan, terpaksa melakukan hubungan seks dengan anggota tentera sebagai pertukaran untuk mendapatkan makanan, lapor akhbar The Guardian.
Laporan turut menyebut, wanita dari Omdurman di Khartoum itu, malah terpaksa mengorbankan harga diri semata-mata untuk mendapatkan barangan yang boleh dijual bagi memperoleh wang untuk menyara keluarga.
Seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terpaksa melakukan perkara terkutuk itu di gudang-gudang atau kilang penyimpanan makanan.
“Kedua-dua ibu bapa saya sudah terlalu tua dan sakit. Saya juga tidak benarkan anak perempuan saya keluar untuk mencari makanan.
“Itu adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan makanan,” katanya yang dipaksa melakukan hubungan seks dengan tentera di sebuah kilang pemprosesan daging pada Mei tahun lalu.
Seorang lagi wanita berkata, anggota tentera turut mendesak mangsa melakukan seks sekiranya mereka mahu mengambil barangan dari rumah-rumah terbiar untuk dijual bagi mendapatkan duit.
“Saya hanya dibenarkan mengambil makanan, kelengkapan rumah dan minyak wangi dari sebuah rumah kosong selepas mengadakan seks dengan tentera.
“Saya melakukannya hanya untuk memberi makan kepada anak-anak,” katanya. – AGENSI