KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City membuktikan bahawa masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan, tidak menjejas rentak mereka di dalam padang selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Selangor FC, sebentar tadi.
Gol tunggal menerusi ledakan Jovan Motika pada minit ke-63 sudah cukup untuk memberi tiga mata berharga buat KL City pada pertemuan Liga Super berdepan Selangor FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Lebih manis ia merupakan kemenangan pertama The City Boys dalam saingan Liga Super ke atas Selangor FC sejak saingan liga itu diperkenalkan pada 2004, di mana KL City mula menyertai saingan liga utama tempatan itu pada 2010.
Pada aksi derbi Lembah Klang itu, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan yang agak perlahan pada separuh masa pertama.
Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-13 menerusi tandukan pemain tengah KL City, Zhafri Yahya namun dinafikan penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville.
Skuad Gergasi Merah turut memiliki peluang terbaik untuk didepan namun ia gagal disempurnakan Alvin Fortes pada minit ke-35 meskipun hanya berdepan penjaga gol KL City, Azri Ghani.
Bersambung babak kedua, KL City meningkatkan intensiti permainan dengan mencipta beberapa gerakan berbahaya untuk merobek gawang pelawat.
Hasilnya, Motika berjaya memanfaatkan umpanan Kenny Pallraj untuk menewaskan Somerville bagi membuka tirai jaringan perlawanan.
Tersentak dengan gol itu, Selangor FC cuba bangkit namun buntu untuk membolosi gawang yang dikawal oleh Azri Ghani sekali gus terpaksa berputih mata tanpa sebarang mata.
Kekalahan itu menyaksikan anak buah Nidzam Jamil yang berada di kedudukan kedua, kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memungut 15 mata selepas lima perlawanan.-UTUSAN