PETALING JAYA: Tidak mustahil jika sebutir pingat mampu dijelmakan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas keputusan undian berpihak kepada pasangan No. 9 dunia itu menjelang Sukan Olimpik di Paris, Perancis yang bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Selepas undian dilaksanakan di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di ibu negara, Jumaat lalu, hanya pasangan No. 2 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China menjadi halangan terbesar Tang Jie-Ee Wei.
Dua lagi beregu iaitu pasangan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai (30 dunia) dan gandingan No. 18 dunia, Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura seharusnya mampu diatasi Tang Jie-Ee Wei jika mereka bermain baik serta mengekalkan prestasi konsisten sepanjang temasya di Paris.
Bagaimanapun, prestasi kurang meyakinkan pada Terbuka Indonesia, Jun lalu, sedikit membimbangkan apabila mereka tersingkir seawal pusingan pertama kepada gandingan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung.
Tang Jie berkata, selepas Terbuka Indonesia, dia dan Ee Wei banyak berbincang dengan jurulatih untuk memperbaiki sikap mereka di dalam dan di luar gelanggang.
“Bagi saya perkara yang dah lepas biarkan berlalu dan kali ini, fokus kami kepada Sukan Olimpik, saya akui kami masih belum sampai pemain berkelas dunia.
“Prestasi kami ada turun dan naik, sebab itu sewaktu melakukan persiapan ke Paris, fokus kami memperbaiki kelemahan di dalam gelanggang terutama dalam mencari keserasian dan persamaan,” katanya.
Jelasnya, mereka juga berlatih bersama beregu lelaki bagi meningkatkan kelajuan dan kekuatan dalam permainan kerana ia amat penting apabila berdepan beregu handalan dunia.
Ee Wei pula memberitahu, perjalanan dia dan Tang Jie untuk melayakkan diri ke temasya terbesar di dunia itu tidak mudah.
“Saya pernah berdepan dengan masalah kesihatan sehinggalah jurulatih kami, Nova Widianto datang pada masa yang tepat.
“Kami berjuang sejak kali pertama digandingkan bersama untuk layak ke Olimpik dan akhirnya kami berjaya berbuat demikian, jadi, kami perlu bekerja dan berusaha mengatasi cabaran yang bakal diharungi,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Sementara itu, jurulatih beregu campuran, Nova mahu beregu bimbingannya itu bermain bermati-matian dan menganggap Sukan Olimpik di Paris merupakan penyertaan terakhir mereka.
“Saya sedar prestasi Tang Jie-Ee Wei sejak kebelakangan ini agak merosot, jadi, saya mahu mereka fokus kepada Olimpik dan harus bersikap optimis, anggap sahaja ini peluang terakhir bermain di Olimpik,” ujarnya.-UTUSAN