PORT SUDAN: Amnesty International menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperluas sekatan senjata di seluruh Sudan, susulan laporan mengenai lambakan senjata ke negara yang dilanda perang ini.
Menurut Pengarah Kajian Krisis Amnesty International, Brian Castner, lambakan senjata yang tidak terhalang dari negara-negara dan syarikat di seluruh dunia itu berlaku didorong oleh perang selama 15 bulan antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera.
Castner berkata, antara yang dapat dikesan adalah kemasukan senjata dari negara-negara seperti Russia, Turkiye, Serbia dan China.
“Amnesty International mengesan kemasukan ratusan ribu senjata dan jutaan peluru ke Sudan. Keadaan ini menyebabkan pelanggaran hak asasi manusia besar-besaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan bertajuk ‘Senjata Baru Memacu Konflik Sudan’ yang dikeluarkan semalam.
Tambah beliau, sekatan senjata sedia ada yang hanya dikuatkuasakan di Darfur sejak 2004 terlalu terhad dan kurang berkesan.
“Kawalan dan pemantauan itu sepatutnya diperluaskan di seluruh negara,” katanya.
Sejak perang bermula pada April tahun lalu, puluhan ribu orang terbunuh dengan anggaran jumlah kematian berkemungkinan mencapai 150,000 nyawa. – AGENSI