Russia, China bekal senjata ke Sudan? - Utusan Malaysia

Russia, China bekal senjata ke Sudan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT SUDAN: Amnesty International semalam menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperluas sekatan senjata di seluruh Sudan, susulan laporan tentang limpahan senjata ke negara yang dilanda perang ini.

Menurut Pengarah Kajian Krisis Amnesty International, Brian Castner, lambakan senjata yang tidak terhalang dari negara-negara dan syarikat di seluruh dunia itu berlaku didorong oleh perang selama 15 bulan antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera.

Castner berkata, antara yang dapat dikesan adalah kemasukan senjata dari negara-negara seperti Rusia, Turkiye, Serbia dan China.

“Amnesty International mengesan kemasukan ratusan ribu senjata dan jutaan peluru ke Sudan. Keadaan ini menyebabkan pelanggaran hak asasi manusia besar-besaran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan bertajuk “Senjata Baru Memacu Konflik Sudan” yang dikeluarkan semalam.

Tambah beliau, sekatan senjata sedia ada yang hanya dikuatkuasakan di Darfur sejak 2004 terlalu terhad dan kurang berkesan.

“Kawalan dan pemantauan itu sepatutnya diperluaskan di seluruh negara,” katanya.

Sejak perang bermula pada April tahun lalu, puluhan ribu orang telah terbunuh dengan anggaran jumlah kematian mungkin mencapai 150,000 nyawa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN