JAKARTA: Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) berikrar akan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap agensi tersebut selepas Pengerusinya, Hasyim Asy’ari dipecat gara-gara salah laku seksual.
Jakarta Post melaporkan, Pemangku KPU, Mochammad Afifuddin, berkata, perkara itu perlu dilakukan menjelang Pilihan Raya Daerah (Pilkada) pada November ini bagi pemilihan gabenor, datuk bandar dan pemimpin daerah di seluruh negara.
“Kami akan sehabis baik mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
“Kami juga sedang meneliti peraturan baharu bagi melindungi pegawai-pegawai KPU terutamanya wanita,” kata beliau kepada Jakarta Post.
Mochammad Afifuddin berkata demikian merujuk kepada skandal yang dicetuskan Hasyim Asy’ari baru-baru ini, yang dipecat kerana mencabul seorang pegawai pilihan raya asing.
Majlis Etika Pertubuhan Pilihan Raya (DKKP) mendapati bekas Pengerusi KPU itu bersalah menyalahgunakan kuasa untuk mencabul mangsa.
Beliau sebelum ini beberapa kali pernah diberi amaran oleh DKKP berhubung salah laku pada bulan Mac dan April.
KPU juga sering menimbulkan kontroversi semasa Pemilihan Presiden Februari lalu, apabila membenarkan calon berkempen lebih awal daripada waktu yang sepatutnya. – AGENSI