Skuad muda negara mudah 'ratah' Singapura

Skuad muda negara mudah ‘ratah’ Singapura

SKUAD Bawah 19 tahun negara meraikan jaringan pembukaan dijaringkan oleh Ridzwan Rosli pada aksi kedua Kumpulan C Piala AFF B-19 di Stadium Gelora 10 November, Surabaya sebentar tadi.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara meneruskan rentak kemenangan selepas menjadikan Singapura mangsa kedua mereka di Piala AFF B-19 dengan kemenangan 5-0, sebentar tadi.

Terdahulu, skuad muda negara yang juga merupakan juara bertahan membuka kempen kejohanan itu dengan membelasah Brunei 11-0 pada Jumaat lalu.

Pada aksi di Stadium Stadium Gelora 10 November, Surabaya skuad muda negara tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Ridzwan Rosli.

Lima minit kemudian, Malaysia menggandakan jaringan hasil ledakan Naim Zainudin sebelum G. Pavithran menutup babak pertama dengan gol ketiga sekali gus mendahului 3-0.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Juan Torres Garrido terus menunjukkan penguasaan permainan dan menemui gol keempat pada minit ke-73 menerusi jaringan Faris Danish.

Skuad muda negara terus berpesta gol dan kali ini menerusi tandukan Izzat Syahir yang memanfaatkan lontaran jauh dilakukan Faris pada minit ke-82.

Ketika Malaysia selesa mendahului, terjahan keras dilakukan Abid Safaraz ke atas pemain Singapura menyebabkan dia dilayangkan kad merah sekali gus skuad muda negara terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

Kesempatan itu cuba digunakan Singapura untuk mencari gol namun pertahanan negara kebal bertahan untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Selepas dua perlawanan Malaysia telah mengumpul 16 gol tanpa dibolosi dan akan menutup kempen peringkat kumpulan berdepan Thailand pada Khamis ini.

Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir dan naib juara terbaik daripada tiga kumpulan melengkapkan senarai separuh akhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN