PARIS: Syarikat Kereta Api Perancis, SNCF berjanji untuk menyelesaikan masalah yang mengganggu sistem pengoperasian perkhidmatan pengangkutan awam itu, selepas tergendala akibat serangan terancang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-Pierre Farandou berkata, disebabkan insiden yang tidak dijangka itu, rakyat Perancis tidak dapat melakukan perjalanan untuk bercuti sepanjang hujung minggu ini.
“Saya memikirkan keadaan dan nasib yang dialami oleh semua rakyat Perancis yang tidak dapat bercuti hari ini.
“Proses pembaikan akan berjalan sepanjang hujung minggu, kerana ia mengambil masa yang lama untuk dibaiki. Hari ini adalah hari yang menyedihkan buat kita semua,” katanya lapor BBC.
Farandou berkata, pihaknya berusaha untuk menyakinkan warga Perancis dengan ribuan petugas digerakkan untuk membaik pulih sistem rangkaian, membantu penumpang di stesen dan orang awam.
Hari ini, Perancis dikejutkan dengan insiden yang disifatkan sebagai ‘gangguan terancang’ menjelang Majlis Perasmian Sukan Olimpik Perancis.
Serangan itu menjejaskan laluan kereta api laju berkelajuan tinggi di laluan Atlantik, Utara dan Timur. -BBC