GAZA: Tentera Israel menggunakan bom JDAM yang mempunyai berat antara 227 hingga 907 kilogram sehingga mengorbankan banyak nyawa manusia di Mawasi, Khan Younis, Sabtu lalu.
Akibatnya, 90 orang terbunuh di zon selamat yang diisytiharkan oleh Israel sendiri di lokasi yang mempunyai jarak 20 minit jika menaiki kereta ke Rafah.
Kesan serangan seperti kawah sehingga dilabelkan insiden paling terburuk dalam rentetan serangan minggu lalu, di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjadikan alasan serangan kerana Panglima Tertinggi Briged Al Qassam, Mohammed Deif berada di lokasi kejadian.
Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman berterusan termasuk tindakan baharu rejim Israel melancarkan serangan udara terhadap kem pelarian itu.
Serangan berkenaan mengorbankan nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan ratusan yang lain.
Serangan keji dan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di zon ‘selamat’ yang ditetapkan oleh Israel sendiri untuk rakyat Palestin sekaligus bercanggah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang antarabangsa. -AGENSI