PETALING JAYA: Kemenangan 4-1 Selangor FC ke atas Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi kembali melonjak The Red Giants di tangga kedua Liga Super musim 2024/2025.
Keputusan itu juga menyaksikan kebangkitan semula Selangor selepas tewas dalam dua aksi terakhir mereka termasuk ketika separuh akhir pertama Piala FA, 19 Julai lalu.
Beraksi dihadapan penyokong sendiri, Red Giants tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Mukhairi Ajmal Mahadi menyudahkan hantaran Alvin Fortes pada minit ketiga.
Namun Penang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 selepas kapten mereka, Rafael Vitor menyempurnakan sepakan penalti.
Tujuh minit kemudian tuan rumah kembali mendahului apabila Yohandry Orozco menyudahkan sepakan penalti, disusuli gol ketiga diledak Fortes menerusi sepakan percuma pada minit ke-89.
Quentin Cheng melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Nidzam Jamil dengan menggandakan jaringan pada masa kecederaan.
Keputusan itu menyaksikan Selangor memintas Sabah di kedudukan kedua dengan mengumpul 12 mata selepas enam perlawanan manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal menerajui takhta liga menerusi kelebihan enam mata.
Sementara satu lagi aksi Liga Super menyaksikan Kuala Lumpur City berkongsi satu mata dengan Sri Pahang selepas terikat 0-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.-UTUSAN