RM14 Juta jadi rebutan di Kejohanan Golf Maybank LPGA 2024

RM14 Juta jadi rebutan di Kejohanan Golf Maybank LPGA 2024

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua kiri) berkenan menyerahkan Piala Kejohanan Golf Maybank LGPA (Persatuan Golf Wanita Profesional) 2023 kepada pemain golf Perancis, Celine Boutier di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) pada edisi lalu.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Golf Maybank Jelajah Persatuan Golf Wanita Profesional (LPGA) yang menawarkan hadiah paling lumayan di rantau ini iaitu AS$3 juta (RM14 juta) akan kembali buat kali kedua berturut-turut pada 24-27 Oktober ini di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC).

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini, kejohanan itu yang mengekalkan lapangan West Course di KLGCC dijangka menarik ramai bintang ternama dunia seperti mana edisi tahun lalu.

“Pada edisi lalu, Kejohanan Golf Maybank dimenangi oleh pemain Perancis, Celine Boutier selepas bintang No. 6 dunia itu mengetepikan Atthaya Thitikul dari Thailand dalam aksi play-off dramatik yang diheret sehingga lubang kesembilan yang merupakan kedua terpanjang di dunia dalam sejarah Jelajah LPGA.

“Selain Boutier dan Thitikul, pertandingan tahun lepas turut berjaya menarik penyertaan seramai 78 bintang antarabangsa termasuk Nelly Korda, Lydia Ko dan Ruoning Yin,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, bagi edisi 2024, masih membawa misi sama iaitu membantu membangunkan bakat dalam kalangan pemain amatur di ASEAN, selain, membuka peluang kepada mereka bersaing dalam kejohanan berkelas dunia.

Jelas kenyataan tersebut, kepulangan semula Jelajah LPGA ke Malaysia pada tahun lalu selepas wabak Covid-19 melanda dunia, berjaya menarik siaran televisyen membabitkan 170 buah negara dan 560 juta isi rumah.

“Impak daripada kejohanan itu berjaya menaikkan nama Malaysia khususnya dan rantau ASEAN secara amnya di peringkat global,” ujar kenyataan itu.

Selaku penaja utama, kenyataan itu memberitahu, Maybank berharap penganjuran kejohanan itu akan dapat mengembangkan lagi pembangunan ekonomi dalam kalangan komuniti setempat.

Kenyataan itu berkata, pada 27 dan 28 Ogos di lapangan West Course, KLGCC, Kejohanan Golf Maybank Kelayakan ASEAN akan diadakan bagi membuka peluang kepada pemain golf di rantau ini merebut lima slot beraksi pada Kejohanan Golf Maybank.

“Penyertaan yang ditutup 9 Ogos ini membuka peluang kepada pemain profesional dan amatur dari negara-negara ASEAN seperti Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam,” jelas kenyataan tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya