CARACAS: Rakyat Venezuela keluar mengundi untuk memilih presiden baharu semalam, yang mungkin menyaksikan pemerintahan selama 25 tahun Parti Sosialis Bersatu Venezuela berakhir sekiranya pemimpin pembangkang Edmundo Gonzalez menang.
Pilihan raya presiden ini dibuat ketika Presiden Nicolas Maduro, menghadapi cabaran politik terbesar dalam karier untuk mengekalkan pemerintahannya selama 11 tahun.
Pusat pengundian di ibu negara, Caracas, dibuka pada pukul 6 pagi waktu tempatan bagi membolehkan kira-kira 21 juta pengundi menunaikan tanggungjawab.
Ia akan ditutup pada pukul 6 petang waktu tempatan. Pihak berkuasa pilihan raya belum memaklumkan bila keputusan penuh akan diumumkan.
Sebanyak 10 calon bertanding, menyaksikan persaingan utama di antara Maduro yang mahu mengekalkan pentadbiran pada penggal ketiga dan Gonzalez yang disokong oleh gabungan pembangkang.
Lebih 380,000 anggota tentera dan polis dikerahkan di seluruh negara untuk memastikan keadaan terkawal.
Agensi berita Anadolu melaporkan, buat kali pertama dalam 10 tahun, semua parti pembangkang di negara dengan 29 juta penduduk ini memutuskan untuk tidak memboikot pilihan raya.
Penggal enam tahun presiden baharu akan bermula pada 10 Januari depan. – AGENSI