DHAKA: Mahkamah Agung Bangladesh akan membuat keputusan mengenai masa depan peraturan pengambilan perkhidmatan awam yang mencetuskan pertempuran di seluruh negara antara polis dan pelajar universiti sehingga mengorbankan 133 orang.
Kuota kemasukan penjawat awam yang dipolitikkan menjadi pergolakan paling teruk dalam tempoh Perdana Menteri, Sheikh Hasina mentadbir Bangladesh.
Mahkamah Agung bermesyuarat semalam untuk mengeluarkan keputusan sama ada akan menghapuskan kuota pekerjaan yang menjadi pertikaian.
Kerajaan Hasina dituduh mempergunakan badan kehakiman mengikut kehendak sendiri.
Peraturan pengambilan kuota penjawa awam dijangka akan dibatalkan minggu ini.
Namun, selepas tindakan keras yang semakin agresif dan angka kematian yang meningkat, sebarang keputusan mungkin tidak akan meredakan kemarahan orang ramai yang kian memuncak.
“Ia bukan mengenai hak pelajar lagi,” kata pemilik perniagaan, Hasibul Sheikh, 24, kepada AFP di lokasi protes jalanan pada Sabtu.
Protes di ibu negara Dhaka kelmarin, adalah tindakan menentang pelaksanaan perintah berkurung di seluruh negara.
“Tuntutan kami hanya satu sekarang. Perdana Menteri sila letak jawatan,” katanya.
Sejak semalam, tentera mengambil alih dan melakukan rondaan di seluruh Bangladesh selepas polis anti rusuhan gagal memulihkan keadaan.
Pemadaman talian internet di seluruh negara sejak Khamis lalu, secara tidak langsung menyekat aliran maklumat ke dunia luar secara drastik.
PUNCA PROTES
Huru-hara dan kacau-bilau di ibu negara dan kebanyakan daerah lain berpunca tindakan kerajaan yang mahu melaksanakan sistem kuota sekali gus memberi kelebihan kepada kumpulan tertentu.
Ia termasuk anak-anak veteran dari perang pembebasan negara pada 1971 menentang Pakistan.
Pengkritik berkata, skim itu memberi manfaat kepada keluarga yang menumpahkan kesetiam kepada Hasina, 76, yang memerintah negara sejak 2009 dan memenangi pilihan raya keempat berturut-turut, Januari lalu.
Kerajaan Hasina dituduh oleh kumpulan hak asasi manusia menyalahgunakan institusi negara untuk mengukuhkan pegangan dan kuasa serta menghapuskan perbezaan pendapat, termasuk pembunuhan aktivis pembangkang.
KERAJAAN GAGAL
Pengarah Asia Crisis Group, Pierre Prakash berkata, skim kuota itu menjadi punca kemarahan dalam kalangan graduan muda ekoran berdepan krisis pengangguran yang teruk.
Jelasnya, dengan Bangladesh gagal menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk 170 juta penduduk, Hasina juga menimbulkan kemarahan ramai akibat mulut lancangnya.
Beliau menyamakan penunjuk perasaan dengan warga Bangladesh yang pernah bekerjasama dengan Pakistan semasa perang menuntut kemerdekaan negara itu.
“Daripada cuba menangani rungutan penunjuk perasaan, tindakan kerajaan lebih memburukkan keadaan,” katanya.
Ahad lalu, Hasina dijadualkan meninggalkan negara itu untuk lawatan diplomatik ke Sepanyol dan Brazil.
Namun, racangan itu terpaksa dibatalkan selepas protes yang disertai ribuan pelajar bertukar menjadi ganas dan agresif.
Berdasarkan pengiraan AFP hasil laporan oleh pihak polis dan hospital, seramai 133 orang, termasuk beberapa pegawai polis terbunuh dalam pertempuran di seluruh negara.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak mengunjungi Bangladesh.
Beberapa diplomat dan ahli keluarga mereka yang berada di Dhaka akan dibawa keluar akibat pergolakan itu. -AFP