Piala AFF B-19: Harimau Muda sedia 'baham' Thailand

Piala AFF B-19: Harimau Muda sedia ‘baham’ Thailand

SKUAD Bawah 19 tahun negara dilihat sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk berdepan Thailand pada aksi terakhir Kumpulan C Piala AFF B-19 di Stadium Gelora Bung Tomo hari ini.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan pemain skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara berada dalam motivasi tinggi untuk memburu kemenangan ‘bersih’ di peringkat Kumpulan C Piala AFF B-19 menjelang aksi terakhir berdepan Thailand di Stadium Gelora Bung Tomo pada pukul 4 petang hari ini.

Menyedari kekuatan dimiliki skuad muda Thailand namun pengendali B-19 negara, Juan Torres Garrido dan barisan kejurulatihan telah mengenalpasti ‘ramuan’ terbaik untuk menjinakkan skuad muda Gajah Putih itu.

Misi meraih kemenangan ke atas Thailand bukanlah perkara mustahil jika dua aksi sebelum ini menjadi ukuran buat skuad muda negara yang dilihat bermain seperti harimau kelaparan.

Buktinya, jentera serangan skuad muda negara telah merekodkan 16 gol dalam dua perlawanan iaitu ketika membelasah Brunei 11-0 dan seterusnya menundukkan Singapura 5-0.

Dalam masa sama, benteng Malaysia juga kebal tanpa dibolosi selepas dua aksi Kumpulan C Piala AFF B-19.

Pengurus pasukan B-19 negara, Mohd Joehari Mohd Ayub berharap para pemain dapat meneruskan rentak kemenangan apabila turun berdepan Thailand.

Katanya, biarpun skuad muda negara telah mencatat dua kemenangan besar dengan membuka kempen kejohanan membelasah Brunei 11-0 dan seterusnya menewaskan Singapura 5-0 namun dia mengingatkan pemain-pemain bahawa Thailand adalah pasukan berbeza.

Kedua-dua pasukan belum tewas dan keputusan hari ini akan menentukan siapa yang bakal mara ke separuh akhir Piala AFF B-19 sebagai juara kumpulan.

“Kita perlu meningkatkan lagi prestasi permainan apabila bertemu Thailand. Menang atau seri sudah cukup untuk kita layak ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

“Dua kemenangan sebelum ini tentunya memberi motivasi tinggi kepada pemain tetapi lawan kali ini adalah berbeza dan tidak kira di peringkat umur mana, Thailand sentiasa memberi ancaman kepada Malaysia.

“Atas kertas peluang untuk kedua-dua pasukan adalah seimbang iaitu 50-50 tetapi saya percaya pasukan kita memiliki kelebihan untuk menang. Barisan kejurulatihan yang diketuai Juan Torres (Garrido) telah melakukan analisis permainan lawan dan bakal menerapkan taktikal terbaik untuk perlawanan esok (hari ini),”katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Thailand juga masih mengekalkan rekod tanpa kalah apabila memulakan kempen dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Singapura dan menewaskan Brunei 6-0.

Untuk layak ke separuh akhir Piala AFF B-19, skuad muda negara hanya memerlukan keputusan seri sekali gus mara sebagai juara kumpulan namun kemenangan akan memberi motivasi tinggi bagi mengharungi peringkat seterusnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya