MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menyifatkan perubahan iklim adalah punca banjir teruk yang melanda ibu negara ini selepas hujan lebat akibat Taufan Gaemi menyebabkan banjir dahsyat dan tanah runtuh.
Ferdinand yang menyertai usaha bantuan di sini, semalam berkata, beliau ingin melihat sendiri keadaan di ibu negara berbanding hanya membaca laporan kesan akibat bencana tersebut.
“Saya ingin lihat sendiri apa yang dilalui oleh rakyat. Inilah kesan perubahan iklim,” katanya ketika menyerahkan pek makanan kepada penduduk seperti laporan Arab News.
Taufan Gaemi atau dikenali sebagai Carina di Filipina, tidak mendarat di negara ini, namun mengakibatkan banjir serta tanah runtuh sehingga memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan darurat membabitkan kira-kira 15 juta penduduk.
Sekurang-kurangnya 14 orang terkorban, sementara lebih 600,000 yang lain hilang tempat tinggal akibat Taufan Gaemi di sini.
Gaemi pagi ini melanda wilayah Fujian di tenggara China, menyebabkan 150,000 penduduk perlu dipindahkan ke lokasi selamat.
Filipina mengalami kira-kira 20 ribut dan taufan setiap tahun, tetapi perubahan iklim mengakibatkan kesan lebih buruk kepada negara ini.
Pada 2013, Taufan Haiyan mengorbankan lebih 6,000 nyawa di tengah negara ini sementara pada tahun 2021, super Taufan Rai, membunuh lebih 200 orang. – AGENSI