PERANG Dunia Ketiga (WWIII) bukan jawapan dan penyelesaian terbaik berhubung konflik di Gaza yang masih menemukan jalan buntu.
Ini kerana, peperangan hanya akan mencetuskan kerosakan lebih besar dan mengheret negara-negara lain ke dalam kancah kemusnahan.
Itu pendirian Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Prof. Dr. Salawati Mat Basir mengenai konflik di Semenanjung Gaza yang sebenarya sudah berlanjutan sejak 75 tahun lalu.
Baginya, rejim Zionis itu sendiri sebenarnya adalah ‘perosak’ dan entiti yang berisiko mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
“Kalau kita cipta Perang Dunia Ketiga, ia bukan penyelesaian di Gaza. Sebabnya, akan mengheret lebih banyak negara lain ke kancah peperangan.
“Israel mahu mengheret Lebanon dan Iran dalam konflik di Gaza, serta pada masa sama akan mengheret Amerika Syarikat (AS).
“Perangai Israel ini adalah sebenarnya yang mencetuskan Perang Dunia Ketiga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
DI MANA NEGARA ISLAM?
Ketika rakyat Palestin masih bermandi darah dan dihujani peluru kekejaman, kebanyakan penduduk di negara Islam masih boleh hidup dengan aman.
Terbit persoalan, di mana peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam membantu pejuang Hamas berdepan serangan rejim Zionis.
“Sepatutnya negara Islam bertindak sebab mereka adalah negara yang menjual minyak. Mereka yang bantu Israel menghantar bekalanan makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Apabila perang tercetus mereka (negara Islam) langsung tidak mempedulikan Palestin,” tegasnya.
Salawati menjelaskan yang menjadikan Israel ini adalah sangat kejam dan tidak beperikemanusiaan ialah Amerika Syarikat (AS).
“Kalau AS tidak sokong, Israel akan lemah. Selama ini, memang sudah jelas dalam paparan berita AS adalah pelindung mereka.
“Sepatutnya, AS hentikan terus penghantaran bekalan peluru bagi meredakan ketegangan yang semakin menyedihkan.
“Washington perlu main peranan selaku negara kuasa besar dan pemilik Veto, sebab memeluk Israel sangat erat,” katanya.
Lebih menyedihkan, katanya, Presiden AS, Joe Biden sendiri mengaku dirinya ialah Zionis.
“Apa lagi yang kita hendak harapkan terhadap individu yang mengaku Zionis yang sekelumit pun tiada hati dan perasaan apabila orang Islam dibunuh di Palestin.
“Pada Biden, rakyat Palestin adalah ‘human animal’, sama sahaja beliau seperti Netanyahu (Perdana Menteri Israel),” jelasnya.