KUALA LUMPUR: Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, hujung bulan ini, termasuk mengurangkan berat badan dan mengambil keputusan menetap seketika di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Bagi Aaron, dia sememangnya terkenal memiliki badan yang sedikit gempal, tetapi, dalam perkembangan terbaharu, pemain berusia 27 tahun itu kini telah kehilangan banyak berat badan.
“Saya memang mula mengawal pemakanan saya pada ketika ini, sebenarnya saya sudah mula lakukan secara perlahan-lahan sejak awal tahun ini.
“Jadi, saya harap dapat bantu untuk Olimpik nanti, saya tak tengok berapa kilogram yang saya hilang, cuma saya pantau lemak dalam badan saya dan juga pembinaan otot tubuh saya untuk lebih mantap dari segi fizikal,” katanya dalam sidang media di ABM dekat sini, semalam.
Bagi gandingannya, Wooi Yik, 26, pula, dia mengambil keputusan menetap sementara di ABM bagi memberi tumpuan kepada persiapan Sukan Olimpik.
“Wooi Yik sanggup tinggal di ABM, saya pula meluangkan masa saya dari pagi hingga malam berlatih di sini,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai persiapan sebelum berangkat ke Paris, Aaron memberitahu, selepas pulang daripada Terbuka Indonesia, fokus dia serta Wooi Yik hanya kepada latihan dan mendapat bantuan daripada dua beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Ketika ditanya pula mengenai perbezaan Olimpik lalu di Tokyo dengan di Paris, anak jati Melaka itu menjelaskan, perbezaannya mungkin dari segi kehadiran penonton kerana sewaktu di Tokyo mereka bermain tanpa kehadiran peminat, tetapi, kali ini suasananya jauh berbeza.
“Kami tidak kisah tentang perubahan itu kerana apa yang penting terus mengekalkan sikap merendah diri dan bagi saya ini peluang terbaik kami untuk merealisasikan impian pingat emas negara,” tegasnya.
Sementara itu, sewaktu ditanya tentang prestasi baik mereka dalam setiap kejohanan besar, Wooi Yik pula berkata, keadaan itu berlaku mungkin di atas faktor semangat bermain untuk Malaysia dan dia berharap momentum baik dapat diteruskan di Paris.
“Kami telah melakukan persiapan rapi termasuk mengadakan perlawanan simulasi dan kami juga banyak memberi tumpuan kepada tahap kecergasan serta kekuatan permainan kami dalam gelanggang,” ujarnya.
Wooi Yik juga memberitahu, sejak kebelakangan ini dia banyak meluangkan masa bersama bapa saudaranya, Soo Beng Kiang yang merupakan bekas jaguh badminton tanah air.
“Dia tidak berpeluang bermain dalam Olimpik, jadi, dia banyak kongsi pengalaman sewaktu dia bergelar pemain dan banyak membantu bagaimana saya hendak hadapi situasi di Olimpik,” katanya.-UTUSAN