Penduduk selatan Gaza diarah berpindah lagi - Utusan Malaysia

Penduduk selatan Gaza diarah berpindah lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ratusan pesakit Palestin terpaksa melarikan diri dari Hospital Eropah dan kem pelarian di Khan Younis selepas tentera Israel mengarahkan pemindahan segera di bandar kedua terbesar di Gaza. 

Arahan pemindahan besar-besaran terkini itu dibuat ketika kereta kebal tentera Israel dan pertempuran sengit memerangkap orang awam Palestin di Rafah, lapor Al Jazeera.  

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan enam lagi cedera berikutan serangan tentera Israel terhadap sebuah rumah di kawasan timur, Khan Younis.

Terdahulu, kumpulan Jihad Islam melancarkan 20 peluru melintasi kawasan Khan Younis di selatan Gaza, namun berjaya dipintas oleh tentera Israel. 

Sayap bersenjata bersama Briged Al-Quds itu berkata, pihaknya melancarkan serangan roket terhadap penduduk Israel berhampiran sempadan Gaza, bagi membalas dendam jenayah terhadap rakyat Palestin.   

‘KAMI DAH PENAT’

Penduduk di Khan Younis, Ahmed al-Bairam berkata, dia tidak sempat membawa apa-apa barangan berikutan arahan tentera Israel supaya orang ramai meninggalkan bahagian timur bandar itu. 

“Hanya Tuhan yang tahu ke mana kita akan pergi esok. 

“Kami datang dari kawasan timur, kemudian berpindah ke Hospital Eropah, kemudian ke Rafah, dan kembali ke Bani Suheila. 

“Kami kemudian ke Hospital Nasser dan sekarang menuju ke kem Somood.

“Memang sudah terlalu penat dan kali ini kami tiada masa untuk membawa apa-apa. Disebabkan tiada apa-apa pengangkutan, saya dan anak-anak perlu berjalan,” luahnya.

SERANGAN SENGIT 

Tentera Israel melakukan serangan maut di seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh beberapa jam, lapor Pusat Maklumat Palestin. 

Seorang wanita maut dan tiga lagi cedera selepas tentera Israel mengebom kejiranan Qizan Rashwan, di bandar Khan Younis di selatan Gaza. 

Serangan turut menyebabkan seorang kanak-kanak maut selepas tentera Israel mengebom sebuah rumah di kem Nuseirat, tengah Gaza. 

Pusat Maklumat Palestin melaporkan pertempuran serius berlaku antara tentera Israel dan pejuang Palestin di persimpangan Netzarim di tengah Gaza, mengakibatkan kematian di kedua-dua belah pihak. 

Dua rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, tiga cedera serta dua lagi dalam keadaan kritikal, semasa kejadian itu. 

Dua tentera Israel turut terbunuh dan 14 cedera ringan dan lapan yang lain cedera parah dalam kejadian sama.

Sehingga kini, seramai 37,900 rakyat Palestin terbunuh dan 80,060 yang lain cedera sejak serangan Israel di Gaza, 7 Oktober lalu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya