HODEIDAH: Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran berskala besar di Pelabuhan Hodeida, Yemen, pada Isnin, beberapa hari selepas serangan maut Israel di tangki minyak dan loji janakuasa.
Wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian di Hodeidah melaporkan api menjulang marak dan kepulan asap hitam membumbung ke langit selama tiga hari berturut-turut berikutan serangan Zionis pada Sabtu.
Usaha pasukan pemadam kebakaran belum menampakkan hasil yang baik, ekoran api merebak ke beberapa bahagian di pelabuhan itu.
Kebakaran itu juga dibimbangi akan merebak ke kemudahan penyimpanan makanan.
Imej satelit resolusi tinggi yang diambil oleh Maxar Technologies menunjukkan api merebak ke kawasan simpanan bahan api yang mengalami kerosakan teruk di pelabuhan itu.
Depot bahan api itu dikendalikan oleh Syarikat Petroleum Yemen yang memaklumkan enam pekerjanya terbunuh akibat serangan Israel.
Menurut Houthi, lebih 80 orang cedera dengan kebanyakannya melecur teruk akibat serangan itu.
Kesemua mangsa yang meninggal dunia dikebumikan semalam.
Insiden pada Sabtu lalu, adalah serangan pertama oleh Israel terhadap negara termiskin di Semenanjung Arab.
Ia dilancarkan sebagai tindak balas kepada serangan dron Houthi yang melanggar pertahanan udara Israel sehingga meragut satu nyawa di Tel Aviv, sehari sebelumnya.-AFP