PETALING JAYA: Beregu No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah berada di dalam kumpulan maut selepas diundi bersama pasangan No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China untuk saingan peringkat kumpulan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis yang bakal membuka tirai temasya pada 26 Julai ini.
Dalam upacara undian yang dilaksanakan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di ibu negara, hari ini, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking No. 13 dunia diundi di dalam Kumpulan A.
Selain Qing Chen-Yi Fan, turut berada di dalam kumpulan sama adalah beregu No. 6 dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun dan pasangan No. 9 dunia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.
Seperti yang diperkatakan oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, ramalannya menjadi kenyataan apabila Pearly-Thinaah diundi bersama Qing Chen-Yi Fan.
Bagaimanapun, Rexy masih mahu bernada positif apabila beliau berkata, sekiranya Pearly-Thinaah mampu melepasi halangan getir tersebut, maka, peluang untuk mereka melangkah jauh ke peringkat kalah mati selepas itu lebih cerah.
Berdasarkan rekod pertemuan, kesemua beregu yang diundi bersama Pearly-Thinaah, pernah dikalahkan mereka termasuklah beregu No. 1 dunia, Qing Chen-Yi Fan.
Justeru, tiada yang mustahil untuk Pearly-Thinaan mencipta kejutan seandainya prestasi baik dan konsisten mampu dijelmakan mereka pada temasya terbesar di dunia itu nanti.
Sementara itu, untuk perseorangan lelaki, bintang No. 7 dunia, Lee Zii Jia mendapat undian mudah apabila diundi di dalam Kumpulan G bersama-sama pemain kurang ternama iaitu Viren Nettasinghe dari Sri Lanka (72 dunia) dan wakil Sepanyol, Pablo Abian (63 dunia).
Untuk undian perseorangan wanita pula, wakil tunggal Malaysia, Goh Jin Wei yang berada di ranking ke-33 dunia berada di dalam Kumpulan H bersama pemain No. 12 dunia, Kim Ga Eun dari Korea Selatan dan Johanita Scholtz dari Afrika Selatan (102 dunia).
Bagi undian beregu campuran, gandingan No. 9 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berpeluang untuk melepasi halangan peringkat kumpulan apabila hanya pasangan No. 2 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China yang menjadi halangan terbesar mereka di dalam Kumpulan D.
Dua lagi beregu iaitu pasangan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai (30 dunia) dan gandingan No. 18 dunia, Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura seharusnya mampu diatasi Tang Jie-Ee Wei jika tidak kerap membuat kesilapan yang mampu merisikokan peluang mereka.
Dalam pada itu, undian beregu lelaki untuk saingan peringkat kumpulan Sukan Olimpik ditangguh dan akan diumumkan kemudian.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh BWF, ekoran pendengaran kes beregu Perancis, Ronan Labar-Lucas Corvee di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), undian beregu lelaki tidak dapat disempurnakan, hari ini.- UTUSAN