ISLAMABAD: Pakistan semalam membuat keputusan mengecualikan bayaran visa kepada 126 negara, dalam satu langkah untuk menarik pelancong dan pelaburan asing.
Keputusan dicapai pada satu mesyuarat Kabinet itu disifatkan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif sebagai batu loncatan untuk memudahkan ahli perniagaan, pelabur dan pelancong untuk menjalankan perniagaan di negara ini.
Pada masa sama, Kabinet turut meluluskan penguatkuasaan permohonan visa secara atas talian untuk rakyat 126 negara berkenaan membabitkan visa pelancongan serta perniagaan.
Shehbaz dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabatnya berkata, visa secara atas talian itu boleh diperoleh dalam tempoh 24 jam dan bayaran akan dikecualikan.
“Kos visa ini akan ditampung oleh pertukaran matawang yang diperoleh menerusi pelaburan dan kemasukan pelancong asing,” katanya.
Tambah beliau, menerusi permohonan visa atas talian, pelancong dan pelabur juga boleh menikmati kemudahan e-pintu di lapangan terbang iaitu sistem layan diri pintar menggantikan pemeriksaan oleh anggota keselamatan.
Buat masa ini, sistem pintar berkenaan akan dipasang di lapangan terbang di Islamabad, Lahore dan Karachi.
Senarai negara terlibat bagaimanapun masih belum didedahkan. – AGENSI