KUALA LUMPUR: Bukan sekadar kekuatan dan kelajuan permainan yang perlu diperbaiki, tetapi, ketenangan ketika berdepan saat genting antara kekurangan yang menjadi fokus beregu badminton wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah dalam rangka persiapan mereka menjelang Sukan Olimpik di Paris.
Temasya terbesar di dunia itu yang akan membuka tirai pada 26 Julai ini bakal menjadi penampilan sulung buat pasangan No. 13 dunia itu dan baik Thinaah mahupun Pearly mereka ke sana bukan sekadar menimba pengalaman.
Thinaah berkata, selepas Terbuka Indonesia, Jun lalu, mereka memilih memberi fokus kepada latihan bagi mempersiapkan diri ke Sukan Olimpik dan mendapat bantuan daripada rakan sepelatih yang diterbangkan khas dari Indonesia, dia berharap akan memberikan hasil yang baik di Paris nanti.
“Berdepan beregu handalan seperti pasangan No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China antara halangan terbesar yang terpaksa kami harungi, mereka adalah cabaran sebenar kami dalam gelanggang,” katanya dalam sidang media di sini, kelmarin.
Menurut pemain berusia 26 tahun itu, dia serta Pearly kini berada di landasan yang tepat menuju ke Paris dan sebagai pemain memenangi pingat Olimpik merupakan impiannya.
Tidak menolak berasa gementar dan teruja untuk ke Paris, Thinaah memberitahu, banyak yang dia gali sewaktu berlatih dengan rakan sepelatihnya dari Indonesia itu antaranya bagaimanapun untuk fokus kepada kepada setiap pasangan yang mereka temui.
“Setiap beregu memiliki kekuatan dan kelajuan yang berbeza, saya berharap apa yang sedang diusahakan pada ketika ini berjalan lancar dan saya kini mahu fokus langkah demi langkah sebelum ke Olimpik,” ujarnya.
Pearly, 24, pula berpendapat, penampilan dia dan Thinaah pada Terbuka Indonesia yang menyaksikan mereka melangkah sehingga ke suku akhir telah banyak membantu dalam mengembalikan keyakinannya di dalam gelanggang.
“Sekarang kami bekerja keras bagi mencari kembali rentak permainan sebenar kami, setakat ini, apa yang boleh saya kongsikan ialah semuanya berjalan dengan lancar, sebagai atlet sudah tentu kami berharap dapat berikan yang terbaik,” jelasnya.
Mengulas lanjut tentang kekalahan mereka kepada Qing Chen-Yi Fan pada Terbuka Indonesia, Pearly berkata, dia dan Thinaah kehilangan mata pada saat genting, manakala beregu handalan dari China itu cukup bijak mencuri mata.
“Ini yang kami kena belajar dan perbaiki, kelebihan itu ada pada mereka sebagai beregu berpengalaman,” kata Pearly sewaktu bercakap tentang kekalahan kepada pasangan No. 1 dunia itu 20-22, 18-21 di Istora Senayan, Jakarta.
Sementara itu, jurulatih beregu wanita Malaysia, Hoon Thien How amat menyedari tentang kekurangan dimiliki beregu bimbingannya itu dan dia sememangnya berusaha keras bagi membantu Pearly-Thinaah melakukan perubahan dalam permainan mereka.
“Semua orang cakap Pearly-Thinaah tidak memiliki kekuatan yang baik, tetapi bagi saya setiap badan pemain tak sama, saya juga tahu kekuatan mereka memang tidak cukup sebab itu dalam sesi latihan saya kerah tenaga mereka semaksimum mungkin,” tegasnya.-UTUSAN