Menteri Kabinet pertama Indonesia mula tugas di Nusantara

Menteri Kabinet pertama Indonesia mula tugas di Nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menteri Pengangkutan, Budi Karya Sumadi menjadi anggota pertama Kabinet Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang memulakan tugas di ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.

Budi Karya mula bekerja dari kediaman menteri di bandar itu, juga dikenali sebagai IKN, pada 11 Julai lepas.

“Saya sudah beroperasi dari kediaman menteri di IKN sejak dua hari lalu,” katanya kepada media tempatan, minggu lalu.

Beliau juga mengadakan pelbagai mesyuarat dengan pegawai dari pangkalan baharunya, termasuk bersama Timbalan Ketua IKN bagi Infrastruktur dan Kemudahan, Silvia Halim dan Pengarah Pembangunan Jalan di Kementerian Kerja Raya dan Perumahan, Wida Nurfaida.

“Kami membincangkan pelbagai isu berkaitan kesediaan infrastruktur pengangkutan di IKN, seperti kemajuan pembangunan infrastruktur Transit Rel Autonomi (ART) dan strategi pengurusan trafik untuk sambutan Hari Kemerdekaan akan datang,” katanya.

Perpindahan Budi Karya berlaku ketika Indonesia bersiap sedia untuk memindahkan status ibu negara dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan Timur.

Minggu lalu, Jokowi menangguhkan perpindahan dirinya ke Nusantara, akibat gangguan bekalan air minuman dan elektrik.

Sebelum ini, beliau menyatakan keyakinan untuk memindahkan pejabatnya ke Kalimantan Timur menjelang awal Julai.

Projek bernilai AS$32 bilion (RM149 bilion) itu juga bergelut untuk menarik pelabur dan mengalami kelewatan, dengan infrastruktur penting belum disiapkan hanya beberapa minggu sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos, menjelang upacara rasmi Nusantara dijadualkan berlangsung.

Jokowi belum menandatangani dekri Presiden untuk merasmikan Nusantara sebagai ibu negara baharu, menyebabkan rancangan pemindahan itu dalam kebuntuan.- CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya