Membunuh rasisme dengan satu filem - Utusan Malaysia

Membunuh rasisme dengan satu filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN betapa indahnya hidup jika rasisme boleh dihapuskan dengan hanya satu filem. Pengarah popular tanah air, Adrian Teh memiliki misi itu ketika membikin naskhah sukan pertamanya, Gold.

Semuanya bermula dengan sebuah klip pendek atlet negara, Cheah Liek Hou menyarungkan medal emas kepada gurunya yang juga lagenda badminton negara, Rashid Sidek selepas memenangi sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Jarang sekali untuk sebuah filem berlatarkan sukan berjaya menyita perhatian penonton. Setakat ini yang paling popular dan berjaya mendapat gelaran ‘box office’ cuma Ola Bola yang dihasilkan pada 2016. Adrian sedar akan realiti itu tapi enggan mengalah. Baginya, tidak salah mencipta sejarah atau realiti baru menerusi filem Gold.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa filem sukan sukar untuk dijual di Malaysia. Namun saya berbincang panjang dengan penerbit mengenai perkara ini dan kami sepakat merasakan filem ini berbaloi untuk dikeluarkan,” katanya.

Menerusi Gold, Adrian menggabungkan kisah dua lagenda badminton negara iaitu Cheah Liek Hou dan Rashid Sidek dalam satu naskhah. Baginya, dua figura itu menceritakan bagaimana perpaduan sepatutnya dibincangkan lebih banyak di dalam filem bagi menunjukkan bahawa pemikiran rasisme sudah lama patut kita tinggalkan di Malaysia.

“Saya rasa kisah Rashid dan Liek Hou adalah contoh terbaik bagaimana kita boleh berikan kejayaan kepada negara kalau kita ketepikan pemikiran yang negatif seperti rasisme.

“Mereka menunjukkan kepada kita semangat perpaduan yang sebenar. Cukup-cukuplah sikap dan kenyataan berunsur rasisme yang membodohkan. Pemikiran itu sudah ketinggalan zaman.

“Lagipula, generasi sekarang mungkin tidak kenal mereka. Jadi, inilah masanya untuk kita kenalkan lagenda negara seperti Rashid yang menjadi individu pertama yang membawa harapan Malaysia mendapat emas dalam sukan badminton sebelum Datuk Lee Chong Wei,” tambahnya.

Adrian ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan tayangan perdana filem Gold di sebuah pusat beli-belah, baru-baru ini.

Siapa makan cili terasa pedas

Gold tidak hanya menceritakan perjuangan atlet negara malah turut menunjukkan realiti sebenar kebajikan mereka yang diabaikan pihak sepatutnya. Menurut Adrian ramai atlet yang berjuang demi negara namun akhirnya hidup melarat kerana tidak cukup wang menyara hidup.

“Saya cuma ceritakan fakta selepas saya buat kajian dan temu ramah dengan beberapa atlet. Kalau ada pihak yang melihat ia sebagai masalah, harap mereka buatlah sesuatu untuk tangani perkara itu.

“Saya seorang pembikin filem. Saya tidak buat fitnah dan cerita palsu apalagi ia filem yang diambil daripada kisah benar.

“Sebelum ini, salah seorang bekas pemain kebangsaan Adelle Ng berjumpa saya selepas tonton filem Gold. Dia kata ada rasa ‘pahit’ menonton filem ini kerana menceritakan kisah sebenar para atlet. Saya cuma sampaikan realiti,” tambahnya.

Gold bakal menemui penonton di panggung bermula 11 Julai ini. Turut sama menjayakan naskhah ini ialah Jack Tan, Farid Kamil, Wan Raja, Fabian Loo, Josiah Hogan, Daniel Cheah, Yasmin Hani, Lynn Lim dan Meeki Ng.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya