ILLINOIS : McDonald’s mencatat kerugian pertama jualan secara global, kali pertama dalam tempoh tiga tahun dengan memetik inflasi dan kecenderungan pengguna untuk makan di rumah sebagai punca kemerosotan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chris Kempczinski berkata, jualan global McDonald’s merosot satu peratus dalam tempoh April hingga bulan lalu, penurunan pertama sejak suku terakhir 2020, ketika pandemik Covid-19 serta sekatan kerajaan menutup perniagaan yang menyebabkan berjuta-juta penduduk berada di rumah.
“Kami kehilangan pelanggan berpendapatan rendah yang kini memilih untuk berjimat dan makan di rumah,” katanya dalam satu sidang video dengan para pelabur di sini, semalam.
Al-Jazeera melaporkan, cawangan McDonald’s di beberapa negara turut terjejas apabila jualan merosot 1.3 peratus disebabkan sentimen pengguna yang lemah di China dan boikot di Asia Barat berhubung konflik Palestin-Israel.
Tahun lalu, McDonald’s mengaku kesan perang Israel-Gaza menyebabkan perniagaanya merudum akibat boikot yang dikenakan oleh masyarakat dunia.
Rangkaian jenama makanan segera itu dalam laporan kewangan suku keempat dan tahun 2023 menunjukkan peningkatan hanya sekadar 0.7 peratus sahaja pada suku terakhir.
Selain itu, tindakan McDonald’s Israel memberi beribu-ribu makanan percuma kepada tentera dan penduduk Israel berikutan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu, membuakkan lagi rasa marah orang ramai.
Berikutan tindakan McDonald’s Israel, pemegang francais di Arab Saudi, Oman, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Mesir, Bahrain dan Turki terpaksa menggerakkan inisiatif derma bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Palestin. – AGENSI