Masjid diminta adakan solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh

Masjid diminta adakan solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh

DR. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta untuk melaksanakan Solat Jenazah Ghaib ke atas Almarhum Ismail Haniyeh.

Masjid-masjid itu ialah Masjid Negara Kuala Lumpur; Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pada masa sama, masjid-masjid dan surau-surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga diminta untuk berbuat demikian.

“Pihak Jakim dan Jawi akan membuat perincian berkaitan perkara tersebut.

“Saya mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa amat dukacita atas laporan berita akan pemergian ke rahmatullah Almarhum Ismail Haniyeh.

“Sesungguhnya Almarhum adalah seorang pemimpin rakyat Palestin telah memberikan sumbangan bakti dan jasa kepada tindakan serta usaha mempertahankan tanah dan hak-hak rakyat Palestin yang ditindas selama ini.

“Semoga segala baktinya dicatat sebagai amalan soleh di sisi Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ismail dan seorang pegawainya dilaporkan terbunuh selepas Israel menyerang kediamannya di Tehran.

Beliau berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Republik Iran, Masoud Pezeshkian, semalam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN