Malaysia sedia hadapi ‘dendam’ Thailand di Korat

Malaysia sedia hadapi ‘dendam’ Thailand di Korat

AKSI Regu pertama Malaysia meraikan kemenangan mengutip mata pertama dalam acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bersedia berdepan misi membalas dendam Thailand menjelang Piala Raja Thai 2024 yang akan berlangsung pada 1-8 September ini di Korat, Thailand.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, Thailand sudah tentu mahu mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu dan mengintai peluang membalas dendam di atas kekalahan kepada Malaysia pada final antara regu Piala Dunia, bulan lepas di ibu negara.

“Thailand akan mempersiapkan pasukan mereka untuk mempertahankan kejuaraan dan sudah pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membalas dendam di atas kekalahan mereka pada kejohanan di Piala Dunia tempoh hari.

“Bagi kita tiada tekanan yang perlu kita risaukan kepada pasukan negara kerana situasi Piala Raja Thai dan Piala Dunia adalah dua kejohanan yang agak berbeza,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, fokus pasukan negara ialah untuk menang perlawanan demi perlawanan terlebih dahulu dan sudah tentu perlawanan akhir menjadi idaman Malaysia bagi kedua-dua acara iaitu antara regu dan berpasukan.

Jelas beliau, pada ketika ini, baik skuad lelaki mahu wanita, mereka sedang giat menjalani latihan di Bukit Jalil dan pada 28 Julai hingga 10 Ogos ini para pemain akan menyertai kem latihan serta perlawanan ujian di Ratchaburi, Thailand.

“Kita akan mengadakan sesi latihan bersama di sana dan juga beberapa siri perlawanan ujian bagi pasukan lelaki dan wanita untuk kita menilai sejauh mana persiapan kita sebelum menamakan 12 pemain pasukan lelaki dan wanita yang membawa cabaran negara pada kejohanan itu nanti,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai senarai pemain yang berpotensi terpilih, Ahmad Jais memberitahu, pihaknya amat berhati-hati mengenai perkara tersebut kerana terdapat beberapa pemain iaitu Syahir Rosdi dan Zarif Marican Ibrahim Marican yang mengalami kecederaan agak serius.

“Saya perlu menunggu laporan rasmi daripada doktor ISN (Institut Sukan Negara) untuk menilai sejauh mana kemampuan pemain-pemain kita untuk pulih daripada kecederaan dan kembali menjalani latihan bersama pasukan,” tambahnya.

Katanya lagi, Syahir mahupun Zarif memerlukan tempoh rehat yang agak panjang dan enggan mengambil risiko kerana jika mereka masih tidak sempat cergas, pemain lain akan diberi peluang mengisi kekosongan tersebut.

Sementara itu, bercakap tentang penyertaan skuad wanita, Ahmad Jais berkata, mereka akan beraksi dalam Divisyen Premier untuk acara berpasukan serta quadrant bersama-sama pasukan pilihan Thailand, Korea Selatan, Jepun, Myanmar, Vietnam dan Indonesia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya