Malaysia jadi venue pilihan kejohanan takraw antarabangsa

Malaysia jadi venue pilihan kejohanan takraw antarabangsa

NAIB Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Megat Zulkarnain Omardin (tengah) bergambar bersama pemain-pemain sepak takraw negara pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Tahun 2024 semalam.-IHSAN FB PSM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terus menjadi pilihan untuk menjadi tuan rumah kejohanan sepak takraw antarabangsa selepas cemerlang menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Mei lalu.

Kali ini, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah memberikan persetujuan awal untuk menjadi tuan rumah kejohanan Piala Asia 2025 iaitu kejohanan pertama yang akan dianjurkan di peringkat Asia.

Sebelum ini, Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi badan induk itu di Bangkok pada bulan lalu sebulat suara bersetuju untuk melantik Malaysia selaku tuan rumah Piala Asia 2025.

Perkara itu disambut baik oleh Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan dengan beliau menyatakan bersetuju untuk menjadi tuan rumah, namun ada beberapa perkara perlu dibincangkan termasuk dana dan takwim kejohanan.

Faktor utama Malaysia diberi kepercayaan dan ditawarkan hak penganjuran Piala Asia 2025 bersandarkan kepada 10 asas kukuh dan praktikal, antaranya kejayaan menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan cemerlang.

Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, ia akan menyaksikan Stadium Titiwangsa sekali lagi akan dibanjiri peminat sepak takraw seperti yang berlaku sepanjang berlangsungnya Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada bulan lalu.

MOHD. SUMALI REDUAN

Lebih manis, hak selaku tuan rumah pastinya akan menaikkan pemain negara yang bergelar juara dunia bagi acara beregu dan regu selain naib juara regu berpasukan di bawah bimbingan Ahmad Jais Baharun.

Jelas Mohd Sumali, sebelum perkara itu dimuktamadkan dengan Astaf, ada beberapa faktor yang perlu diperhalusi khususnya dana penganjuran.

Selain itu katanya, PSM juga perlu meneliti takwim kejohanan yang agak padat pada tahun hadapan dengan adanya Sukan SEA di Bangkok, Piala Tun Ali dan juga Liga Sepak Takraw (STL).

“Secara dasarnya, kita bersetuju. Namun, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan pertimbangkan kerana kita akan berdepan jadual yang padat tahun depan selain daripada dana penganjuran.

“Selain dana kita mempunyai kejohanan besar iaitu Sukan SEA Bangkok, Piala Tun Ali, STL dan beberapa kejohanan lagi,” katanya ketika dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM.

Dalam perkembangan sama, pihaknya juga akan berbincang dengan Astaf, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi mendapatkan pandangan lebih jelas berhubung penganjuran kejohanan itu tahun depan.

“Selepas perbincangan itu nanti, kita akan buat keputusan sepenuhnya sama ada Piala Asia ini akan diteruskan atau beri (keutamaan) kepada kejohanan lain terlebih dahulu,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya