KUALA LUMPUR : Persatuan Kriket Melayu Malaysia akan membangunkan kriket dalam kalangan pemain bawah 12 di Sekolah Kebangsaan Padang Tembak (2) dan beberapa sekolah lagi di sekitarnya Kuala Lumpur.
Ahli Majlis Kriket Melayu yang mengetuai program pembangunannya, Arina A. Rahim sudah meneliti perancangan program peringkat awal dan telah berbincang dengan pengurusan sekolah berkenaan.
”Kriket Melayu bersetuju untuk membantu dengan kadar segera bagi memastikan pemain yang sedia ada diberikan ‘ilmu’ kriket yang sebenar-benarnya,” kata Arina, bekas kapten pertama skuad perempuan negara.
Dalam suatu sesi perbincangan serius di Rumah Kriket Melayu semalam turut dihadiri Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Faridah Omar Shah di samping guru besarnya, Muhammad Nazri Musa; Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Rozzaliti Abdullah; GPK Kokurikulim, Fauzan Omar dan guru kriket, Ahmad Fuad Iqbal Tarmizi.
Perbincangan itu juga berharap agar mana-mana pihak termasuk Persatuan Kriket Malaysia dan Kuala Lumpur menyokong program ini kerana buat masa ini prestasi kriket terutama di peringkat usia sudah menurun.
”Kami ingin terus membantu untuk melonjakkan pencapaian kriket di Malaysia,” kata Arina.
Kriket Melayu telah mengemudi kecemerlangan pembangunan kriket di negara ini sehingga menghentikan program besar itu pada tahun 2017.-UTUSAN