GAZA: Tentera Israel menjadikan Panglima Tertinggi Briged Al Qassam, Mohammed Deif sebagai sasaran utama dengan melancarkan serangan udara di zon kemanusiaan di Gaza.
Serangan itu menyebabkan 90 rakyat Palestin terbunuh dan 300 yang lain cedera. Israel belum mengesahkan sama ada buruannya terkorban atau masih hidup.
Sekalipun masih hidup, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh berkata, rejim Zionis akan memastikan barisan kepemimpinan Hamas terbunuh.
Bagaimanapun, kenyataan itu disangkal oleh Hamas dan menjelaskan Israel sengaja menjustifikasikan serangan yang mengorbankan orang awam.
Pejuang Hamas menyifatkan serangan udara itu adalah paling terburuk dalam rentetan serangan minggu ini di Gaza.
Seorang saksi mata di Gaza, Sheikh Youssef berkata, khemah yang didiaminya musnah akibat serangan itu dan bilangan mayat sudah tidak terkira yang bergelimpangan di tanah.
“Saya keluar dari khemah dan melihat semua khemah lain musnah. Ada mayat bersepah, wanita warga emas terbujur di lantai dan mayat kanak-kanak hancur bersepai,” luahnya kepada Reuters.
Tentera Israel turut menyasarkan Panglima Briged Al Qassam Wilayah Khan Younis, Rafa Salama dan melabelkan dua individu itu sebagai dalang di sebalik serangan di selatan Israel, 7 Oktober lalu.
Dalam pada itu, platform X dikejutkan dengan gambar bayi yang terkorban akibat serangan udara berkenaan.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, ramai mangsa yang masih hilang di bawah runtuhan akibat serangan tentera Israel di kem al-Mawasi di selatan Gaza.
Pengeboman itu mendapat kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara Asia Barat, ketika tentera Israel turut menyerang masjid yang musnah di kem pelarian Shati di utara Bandar Gaza, yang mengorbankan 20 orang.
Sejak serangan 7 Oktober, tahun lalu, seramai 38,443 rakyat Palestin terbunuh dan 88,481 yang lain cedera.