DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menuding jari terhadap parti pembangkang yang menjadi punca tercetusnya protes keganasan sehingga mengorbankan lebih 100 orang di ibu negara itu.
Hasina menyalahkan parti pembangkang utama, Parti Nasionalis Bangladesh dan parti Jamaat-e-Islami serta sayap pelajarnya berhubung keganasan yang bermula minggu lalu.
Protes yang diketuai oleh barisan pelajar menentang sistem kuota pengambilan penjawat awam dengan 30 peratus penjawatan diberikan secara eksklusif kepada ahli keluarga bekas tentera yang terlibat dalam Perang Menuntut Kemerdekaan 1971.
Hasina berkata, perintah berkurung yang sepatutnya berakhir kelmarin akan ditarik balik apabila keadaan bertambah baik di Dhaka.
Beliau mengeluarkan kenyataan sehari selepas Mahkamah Agung di negara Asia Selatan itu bersetuju membatalkan sistem kuota pada Ahad.
Mahkamah bersidang susulan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan yang mendorong kerajaan menyekat perkhidmatan internet, melaksanakan perintah berkurung dan mengerahkan tentera.
Data dari pihak hospital merekodkan seramai 147 orang terbunuh dalam wabak keganasan terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini di Bangladesh.
Hasina, 76, memenangi penggal keempat berturut-turut dalam Pilihan Raya Nasional yang diboikot oleh parti pembangkang utama, Januari lalu.
Bagaimanapun, parti pembangkang belum memberikan sebarang komen, termasuk BNP.
Sebelum ini, Hasina dituduh sebagai pemimpin autoritarianisme kerana mencabul hak asasi manusia serta melakukan tindakan keras terhadap kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat.
Suasana di jalan utama di Dhaka kelihatan tenang, sehari selepas Mahkamah Tertinggi negara itu memutuskan untuk memihak kepada tuntutan ribuan peserta protes.
Mahkamah memerintahkan sebanyak 93 peratus peluang pekerjaan di sektor kerajaan perlu dibuka kepada calon berdasarkan merit.
Keputusan itu mengurangkan kuota dalam pekerjaan yang sebelum ini dikhususkan untuk ahli keluarga pejuang kemerdekaan.
Pakar politik menyalahkan pihak kerajaan kerana pergolakan yang tercetus disebabkan pertumbuhan pekerjaan yang tidak stabil dalam sektor swasta dan kadar pengangguran belia yang tinggi.