SACRAMENTO : Kebakaran hutan di sini, kini merebak ke kawasan seluas 155,830 hektar, lebih besar dari Los Angeles, memaksa ribuan anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api.
Pihak berkuasa bomba dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 5,500 anggota bomba dari seluruh California dan negeri-negeri lain bekerja tanpa henti untuk memadamkan kebakaran di Central Valley, kira-kira 145 kilometer di utara Sacramento.
Kebakaran itu yang digelar Park Fire, telah merebak ke kawasan seluas 155,830 hektar, menjadikannya kebakaran hutan kelima terbesar dalam sejarah California.
Semalam, kebakaran itu mengatasi kebakaran Creek 2020 di Fresno County, yang memusnahkan kawasan seluas 153,781 hektar, namun lebih kecil berbanding kejadian membabitkan tujuh daerah di utara California bagi keluasan 404,686 hektar pada 2020.
Pegawai bomba dari Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California atau Cal Fire memaklumkan, kebakaran kali ini marak dengan pantas disebabkan keadaan semak dan rumput yang kering.
Katanya, faktor bentuk muka bumi juga menghalang usaha pihaknya sampai ke lokasi kebakaran dengan cepat.
“Garis kebakaran yang dilaporkan adalah sepanjang 418 kilometer. Kami perlukan antara dua hingga tiga jam untuk sampai ke kawasan kebakaran,” ujar beliau.
Kebakaran itu setakat ini memaksa lebih 4,000 penduduk berpindah selepas 192 bangunan atau premis hangus dijilat api.
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini. – AGENSI