Kamala Harris tetap teruskan dasar Biden, isu Gaza tetap sama

Kamala Harris tetap teruskan dasar Biden, isu Gaza tetap sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris dijangka masih berpegang pada buku panduan dasar luar Joe Biden terutama­nya melibatkan isu penting di Ukraine, China dan Iran.

Kamala diyakini lebih lantang bersuara terhadap Israel berhubung konflik di Gaza, sekiranya sosok ini menggantikan Biden atas tiket Demokrat dan memenangi Pilihan Raya AS, November depan.

Sebagai komandan kedua Biden, wanita ini akan memikul pengalaman di tempat kerja, hubungan peribadi yang terjalin dengan pemimpin dunia serta berurusan di peringkat global dengan pe­mimpin dunia sepanjang berada di Senat.

Bagaimanapun, berdepan lawannya, Donald Trump dari Republikan, beliau terpaksa mengakui kelemahan besar khususnya melibatkan situasi bermasalah di sempadan AS-Mexico.

Isu sempadan itu membingungkan Biden dan bakal menjadi mo­dal Republikan sepanjang kempen pemilihan Presiden kelak.

Penganalisis Politik, Aaron David Miller berpandangan Kamala dilihat tidak mampu membawa perubahan besar dalam kepemimpinan AS.

“Beliau mungkin di­lihat sebagai ‘pemain’ yang lebih bertenaga, tetapi satu perkara yang tidak boleh dijangka adalah sebarang perubahan besar serta-merta dalam intipasi dasar luar Biden,” katanya yang merupakan bekas Perunding Asia Barat semasa pentadbiran Demokrat dan Republikan.

Kamala secara jelas memberi isyarat tidak menyimpang daripada memberikan sokongan padu kepada Biden dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta menyokong Ukraine berdepan Russia.

ISU DENGAN CHINA

Bekas Peguam Negara California, Kamala bergelut semasa tempoh Biden untuk mencari kedudukannya, dengan dibebani sebahagian besar portfolio imigresen yang sukar dikawal di ketika lintasan di sempadan AS-Mexico menyaksikan rekod yang tinggi.

Malah, kempen Presiden 2020 juga gagal dan hambar.

Jika Kamala menjadi calon, Demokrat bergantung harap wanita ini akan lebih lantang dalam menyampaikan matlamat dasar luarnya.

Naib Presiden kulit hitam dan keturunan Asia pertama di Amerika berusaha meningkatkan profilnya mengenai isu-isu di China, Russia serta Gaza sehingga dikenali ramai pe­mimpin dunia.

Semasa Persidangan Ke­selamatan Munich tahun ini, beliau menyampaikan ucapan bernada lantang yang menyelar Russia kerana melancarkan operasi khas ketenteraan di Ukraine.

Kamala berikrar kerana AS menghormati Artikel 5 NATO untuk mempertahankan diri bersama negara anggota lain.

Sekutu Kanan, Program Asia Tenggara di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Washington, Murray Hiebert berkata, Kamal sudah lama melihat ke­perluan AS untuk menentang pengaruh China, terutamanya di Asia.

Bagi meningkatkan hubungan di rantau Asia, Kamala me­ngadakan lawatan diplomatik ke Jakarta, September lalu, bagi menggantikan Biden semasa sidang kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Semasa lawatan itu, Kamala menuduh China cuba memaksa jiran yang lebih kecil terhadap tuntutan wilayahnya di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

Biden juga mewakilkan Kamala bagi meningkatkan pakatan dengan Jepun dan Korea Selatan.

“Wanita ini menunjukkan komitmen di rantau ini, beliau bersemangat untuk mempromosikan tumpuan Biden pada Indo-Pasifik,” katanya.

DASAR TETAP SAMA

Semasa lawatan ke Zon Demiliterisasi antara Korea Selatan dan Korea Utara pada September 2022 untuk menegaskan semula sokongan Washington kepada Seoul, Kamala tersilap menggembar-gemburkan ‘perikatan dengan Republik Korea Utara’, yang kemudian diperbetulkan oleh pembantunya.

Jika Kamala menjadi peme­gang standard partinya dan boleh mengatasi Trump dalam tinjauan pendapat, sebelum pilihan raya untuk menakluk White House, konflik Israel-Palestin akan menduduki carta pertama dalam agendanya, terutamanya jika perang Gaza masih berlangsung.

Mac lalu, wanita ini mengkritik Israel secara terang-terangan kerana mencetuskan ‘malapetaka kemanusiaan’ semasa serangan darat di Gaza.

Walaupun ia bukanlah signal negara Uncle Sam itu akan menyelamatkan penduduk Palestin kerana masih membekalkan berbilion dolar infantri persenjataan, namun, setidak-tidaknya Kamala lebih lantang dan vokal menegur Netanyahu.

Netanyahu sebenarnya terpaksa mencari talian hayat terakhir demi menyelamatkan kantung politiknya di sebalik gesaan penduduk Israel sendiri yang mahu pemimpin Zionis itu berundur di Knesset. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya