WASHINGTON: Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris menerima sokongan majoriti delegasi dari Parti Demokrat sekali gus hampir pasti menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Presiden November ini bagi menentang bekas Presiden, Donald Trump.
Dalam satu tinjauan yang dibuat oleh Associated Press pagi ini, Harris memenangi sokongan 2,668 delegasi yang akan menghadiri Konvensyen Parti Demokratik bulan depan, lebih tinggi berbanding hanya 1,976 yang diperlukan untuk mewakili parti berkenaan sebagai calon Presiden.
“Saya sangat berbesar hati kerana menerima sokongan anda sebagai calon parti ini,” katanya di laman X.
Turut menyatakan sokongan kepada Harris adalah bekas Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi.
Sokongan tersebut merupakan kejayaan pertama anak jati California itu selepas Presiden, Joe Biden menyatakan pengundurannya dalam pilihan raya berkenaan.
Momentum Harris juga dibantu kutipan derma sejumlah AS$81 juta (RM378.4 juta) hanya sehari selepas pengumuman Biden, jumlah yang jauh meninggalkan sumbangan diterima beliau sepanjang tempoh dua bulan berkempen.
Dalam ucapan pertama kempennya di Wilmington, Delaware hari ini, Harris berikrar akan membawa masa depan yang cerah kepada rakyat AS berbanding ‘huru-hara, ketakutan dan kebencian’ yang dijanjikan Trump.
“Bermula hari ini, saya sedaya upaya bersama-sama anda akan melakukan semua yang termampu untuk menyatukan Parti Demokrat serta negara bagi memenangi pilihan raya,” ujarnya. – AGENSI