WASHINGTON: Barack Obama mengesahkan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris menjadi calon Demokrat bagi bertanding dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024.
Ia sekaligus menamatkan spekulasi mengenai sokongan sebenar Obama terhadap calon yang bakal bertanding semasa Konvensyen Demokrat, bulan depan.
Bekas Presiden AS itu dan bekas Wanita Pertama, Michelle Obama menerusi kenyataan bersama yakin Harris mempunyai visi, perwatakan dan kekuatan untuk berdepan situasi kritikal.
Obama adalah antara lebih 100 pemimpin Demokrat terkemuka yang memberi sokongan terhadap Harris, selepas pengunduran Joe Biden, Ahad lalu.
“Kami bersetuju dengan Biden. Memilih Harris adalah satu keputusan terbaik. Resume beliau membuktikan segala-galanya.
“Kamala Harris memiliki keupayaan yang diperlukan untuk memenangi pilihan raya,” katanya.
Untuk rekod, Harris pernah menjawat jawatan sebagai Peguam Negara California, Senator AS dan Naib Presiden.
Sejak Biden menarik diri, Harris kerap mengadakan beberapa acara kempen di seluruh AS.
Khamis lalu, beliau berucap di depan Persekutuan Guru-Guru Amerika di Houston.
Harris melabelkan lawannya dari Republikan sebagai parti ‘pelampau’ dan dasar yang ‘gagal’.
“Kita mahu mengharamkan senjata, mereka pula mahu mengharamkan buku,” sindirnya.
Sementara itu, Presiden Republikan, Donald Trump terus menerus menyerang pesaing baharunya.
Semasa sidang kemuncak di Florida, Trump berikrar untuk mengalahkan Harris dan menggelarnya sebagai Naib Presiden ‘paling tidak cekap’.
“Jika Harris dipilih, beliau akan menjadi Presiden paling radikal dan ekstrem dalam sejarah Amerika,” katanya.
Bagaimanapun, Trump enggan berdebat di televisyen dengan Harris sehingga beliau disahkan secara rasmi sebagai calon parti.
PERSAINGAN SENGIT
Tinjauan pendapat di Wall Street Journal (WSJ) mendapati persaingan pemilihan Presiden antara Harris dan Trump dilaporkan semakin sengit.
Tinjauan itu mendedahkan sokongan terhadap Harris dalam kalangan pengundi bukan kulit putih melonjak dan terdapat peningkatan ketara.
Bagaimanapun, Trump mendahului dengan 49 peratus undi berbanding 47 peratus sokongan untuk Harris.
Sebelum ini, Trump mempunyai kelebihan enam mata berbanding Biden yang menarik diri daripada perlumbaan itu.
Berdasarkan keputusan tinjauan pendapat, Trump dianggap lebih berkebolehan daripada Harris dalam mengendalikan isu imigresen, ekonomi, hubungan luar negeri dan jenayah.
Bagaimanapun, Harris mempunyai kelebihan 51 peratus hingga 33 peratus dalam menangani kes pengguguran bayi.
Tinjauan selanjutnya mendedahkan sebanyak 48 peratus responden percaya pada usia 78 tahun, Trump terlalu tua untuk berkhidmat sebagai presiden, manakala hanya dua peratus menyatakan kebimbangan yang sama mengenai Harris yang berusia 59 tahun.
Sementara, 46 peratus responden percaya Harris mempunyai tingkah laku yang betul untuk menjadi presiden, berbanding hanya 38 peratus yang memegang kepercayaan yang sama mengenai Trump.