Kadar kelahiran di Singapura makin kurang - Utusan Malaysia

Kadar kelahiran di Singapura makin kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Laporan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2023 mendedahkan bilangan bayi yang dilahirkan di Singapura pada 2023 jatuh ke paras terendah dalam tempoh 50 tahun.

Lapor The Straits Times, sejumlah 33, 541 bayi dilahirkan pada 2023 menyaksikan penurunan 5.8 peratus berbanding 35, 605 kelahiran direkodkan pada 2022.

Pada 2021, sebanyak 38,672 bayi dilahirkan sekaligus menunjukkan perbezaan 13.3 peratus lebih rendah berbanding dua tahun selepasnya.

Pada Februari, diumumkan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) penduduk jatuh di bawah satu buat kali pertama dalam sejarah Singapura, walaupun bilangan sebenar bayi yang dilahirkan pada 2023 tidak dinyatakan.

TFR merujuk purata bilangan bayi setiap wanita sepanjang tempoh reproduktif mereka, adalah 0.97 pada 2023, antara yang terendah di dunia.

Analisis data urutan kelahiran penduduk menunjukkan trend yang jelas, ibu kali pertama semakin menangguhkan kelahiran ke peringkat akhir kehidupan mereka.

Usia median ibu kali pertama meningkat daripada 30.8 tahun pada 2019 kepada 31.6 tahun pada 2023.

Menurut laporan 2023, bilangan kelahiran hidup dalam kalangan remaja berumur 19 tahun ke bawah adalah 228, menunjukkan peningkatan 4.6 peratus berbanding 218 kelahiran yang dicatatkan pada 2022.

Sementara itu, pada 2023, jumlah keseluruhan kematian berdaftar adalah 26,888, penurunan sebanyak tiga kes daripada 26,891 kematian yang didaftarkan pada 2022.

Sekitar 4.9 peratus kematian yang didaftarkan pada 2023 adalah bukan penduduk, termasuk pemegang pas kerja, pas tanggungan, pas pelajar, pelancong dan pelawat jangka pendek.

Kebanyakan daripada mereka adalah rakyat Malaysia (424 kematian) dan Indonesia (196 kematian).

Punca utama kematian di republik itu pada tahun lepas adalah penyakit jantung dan hipertensi serta penyakit paru-paru dan pernafasan, yang secara kolektif menyumbang 50.8 peratus daripada semua kematian yang didaftarkan.

Selain itu, neoplasma malignan dan penyakit serebrovaskular adalah faktor utama, masing-masing menyumbang 24.6 peratus dan 5.6 peratus daripada kes kematian.

“Punca bukan semula jadi seperti kemalangan, bunuh diri dan punca luaran lain, menyumbang 2.3 peratus daripada jumlah kes,” menurut laporan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya