Kadar faedah terlalu tinggi ancam ekonomi AS - Utusan Malaysia

Kadar faedah terlalu tinggi ancam ekonomi AS

KENAIKAN inflasi mengejutkan pasaran saham Amerika Syarikat yang mengalami kejatuhan lebih 1,000 mata dalam sesi dagangan kelmarin. – GAMBAR AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Jerome Powell menyuarakan kebimbangan terhadap langkah mengekalkan kadar faedah terlalu tinggi untuk tempoh yang lama kerana boleh mengancam pertumbuhan ekonomi.

Bagaimanapun, pemimpin bank pusat itu berkata, ekonomi kekal kukuh termasuk pasaran buruh, walaupun terdapat beberapa tanda penguncupan, baru-baru ini.

Powell merujuk berlaku sedikit penurunan inflasi, susulan penggubal dasar tetap tegas dalam menurunkan sasaran dua peratus.

“Pada masa sama, memandangkan perkembangan yang dicapai dalam menurunkan inflasi dan pasaran buruh yang menguncup sejak dua tahun lalu, inflasi yang tinggi bukanlah satu-satunya risiko yang kita hadapi.

“Mengurangkan kawalan dasar terlalu lewat atau terlalu sedikit boleh melemahkan aktiviti ekonomi dan pekerjaan,” katanya.

Ulasan itu bertepatan dengan hampir setahun sejak kali terakhir Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan meningkatkan penanda aras kadar faedah.

Kadar pinjaman semalaman oleh Fed kini berada dalam julat 5.25 hingga 5.50 peratus, paras tertinggi dalam kira-kira 23 tahun dan hasil 11 kenaikan berturut-turut selepas inflasi mencecah paras tertinggi sejak awal 1980-an.

Pasaran menjangka Fed akan mula memotong kadar faedah pada bulan September dan berkemungkinan akan diikuti dengan pemotongan sebanyak suku lagi mata peratusan menjelang akhir tahun.

Kebelakangan ini, Powell meramal data inflasi agak memberangsangkan selepas lonjakan mengejut pada permulaan tahun ini.

Inflasi seperti yang dinilai oleh indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi pilihan Fed berada pada 2.6 peratus pada bulan Mei, selepas mencapai lebih tujuh peratus pada Jun 2022.

“Selepas kekurangan kemajuan ke arah matlamat inflasi sebanyak dua peratus pada awal tahun ini, bacaan bulanan terkini menunjukkan kemajuan yang sederhana.

“Lebih banyak data yang baik akan mengukuhkan keyakinan kami inflasi bergerak secara mampan ke arah dua peratus,” katanya.

Kenyataan tersebut adalah sebahagian daripada kemas kini separuh tahunan yang diwajibkan oleh Kongres mengenai dasar monetari.

Dalam penampilannya sebelum ini, Powell mengelak daripada membuat pengumuman dasar yang dramatik sambil mengelak soalan sarat politik daripada ahli jawatankuasa.

Ia boleh mencetuskan perbalahan tahun ini kerana Washington berada dalam keadaan genting di tengah-tengah kempen Pilihan Raya Presiden 2024.

Beberapa ahli jawatankuasa Demokrat menggesa Powell menurunkan kadar tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Powell menegaskan Fed tidak bersifat politik dan tidak terlibat dalam mengambil bahagian dasar di luar peranannya sendiri. -REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya