Kabinet Buruh utamakan wanita - Utusan Malaysia

Kabinet Buruh utamakan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jumlah Ahli Parlimen (MP) wanita di Dewan Rakyat mencatatkan rekod baharu susulan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) di United Kingdom (UK). 

Dilaporkan, seramai 261 MP wanita dipilih yang mewakili 40 peratus dari Dewan Rakyat (House of Commons) di Westminster.  

Bilangan itu dijangka meningkat apabila pengiraan undi diteruskan di seluruh UK.

Angka itu melepasi rekod sebelumnya iaitu 220 MP wanita dalam pilihan raya 2019.

Bilangan MP wanita menyaksikan peningkatan signifikan pada setiap enam pilihan raya yang lalu. 

Nancy Astor menjadi MP wanita pertama di Parlimen UK apabila beliau dipilih pada tahun 1919 selepas memenangi kerusi Plymouth Sutton dalam pilihan raya kecil.

Beliau meletak jawatan pada 1945 dan meninggal dunia pada 1964 ketika usia 84 tahun.

Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan ia merupakan hari pertama Buruh berkuasa selepas parti pimpinan Keir Starmer itu memenangi pilihan raya umum pada Khamis lalu dengan kemenangan besar. 

Ia sekali gus menewaskan Parti Konservatif pimpinan perdana menteri terdahulu, Rishi Sunak.

Dalam anggota Kabinet itu, Rachel Reeves dilantik menjadi Canselor wanita pertama Britain.

Timbalan Perdana Menteri, Angela Rayner juga antara 11 wanita dalam Kabinet tersebut.

Keir melantik Kabinetnya selepas kemenangan besar Parti Buruh dan berikrar akan melakukan perubahan besar serta-merta. 

Dalam barisan Kabinet itu, David Lammy dilantik menjadi Menteri Luar.

Yvette Cooper yang merupakan salah seorang daripada tiga ahli Kabinet Buruh terakhir di bawah pimpinan Gordon Brown sebagai perdana menteri sebelum ini, menjadi Menteri Dalam Negeri.

Rayner yang menjadi timbalan Keir turut akan mengetuai Jabatan Peningkatan Tahap, Perumahan dan Komuniti. 

MENGADAP RAJA CHARLES III 

Terdahulu,  Raja Charles III secara rasmi melantik pemimpin Parti Buruh, Sir Keir Starmer sebagai Perdana Menteri UK baharu semasa baginda menerima untuk menghadap di Istana Buckingham.

Gambar yang disiarkan oleh pihak istana menunjukkan pemimpin monarki itu berjabat tangan dengan Starmer.

Sebelum itu, Raja Charles III menerima peletakan jawatan Perdana Menteri daripada Parti Konservatif, Rishi Sunak yang tewas teruk dalam pilihan raya. 

REFORM UK MAIN PERANAN 

Dalam perkembangan lain, Boris Johnson berkata, Nigel Farage yang mewakili parti Reform UK memainkan peranan ‘signifikan’ terhadap ‘kehancuran’ Tories. 

Ini terbukti, apabila nama-nama besar tewas dalam PRU dan memberikan laluan kepada lima ahli Reform UK memasuki Dewan Rakyat.

Bekas Perdana Menteri UK itu, menjelaskan punca sebenar kekalahan Tories sangat kompleks untuk dibincangkan.

Namun, ia sebenarnya berpunca daripada serangan ‘asteroid’ yang menghancurkan Konservatif dalam tempoh 14 tahun mentadbir UK. 

Johnson malah menasihatkan kesemua pemimpin Konservatif agar berubah menjadi pemimpin yang berjiwa rakyat, merendah diri dan menguruskan tatakelola yang baik.

“Apabila kita berpeluang menjadi Kerajaan semula, jangan terlalu tergesa-gesa untuk menyingkirkan pemimpin yang Berjaya memenangi pilihan raya,” pesannya. 

Untuk rekod, Johnson meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas gelombang kontroversi termasuk isu partygate serta pengendaliannya terhadap skandal Chris Pincher. 

Susulan kekalahan besar parti Komservatif, beberapa pemimpinnya mula menuding jari kerana kesal parti tertua dalam sejarah demokrasi ibarat retak menanti belah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya