DUSEELDORF: Jurulatih Switzerland, Murat Yakin berkata Manuel Akanji berasa ‘kosong’ selepas gagal membantu pasukannya dalam penentuan penalti sekali gus tersingkir daripada Euro 2024, hari ini.
Akanji gagal menyempurnakan penaltinya apabila tewas 5-3 kepada England menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 120 minit permainan.
Kekalahan itu bermakna memusnahkan harapan Switzerland untuk layak ke separuh akhir buat kali pertama di kejohanan utama.
“Tiada kata-kata dapat menghiburkannya. Saya mengucapkan terima kasih kepada dia di atas persembahannya, cara dia memimpin pasukan di peringkat tertinggi.
“Tiada kata-kata dapat membantunya, terdapat kekosongan dan kesedihan yang mendalam pada dirinya. Semua orang perlu perlu berusaha untuk menempuhnya tetapi kami boleh berbangga dengan diri sendiri.
“Manu berkata dia mahu mengambil sepakan pertama, anda memberikan pemain tanggungjawab dan kamu tidak boleh kepada mereka,” kata Yakin.
Switzerland hampir layak ke separuh akhir apabila Breel Embolo meledakkan pasukannya di depan pada minit ke-75 sebelum Bukayo Saka menyamakan kedudukan selang lima minit kemudian.
Persembahan Switzerland pada kempen kali ini menyaksikan mereka hampir menewaskan Jerman dan muncul juara Kumpulan A malah menumpaskan Itali di peringkat suku akhir membuatkan Yakin percaya pasukannya mempunyai masa depan positif.
“Sudah tentu ia menyakitkan apabila banyak usaha telah kami lakukan serta peluang yang kami ada. Saya amat sedih untuk pemain ini dan negara selepas persembahan seperti itu namun kami terpaksa meninggalkan kejohanan ini,” kata Yakin.
“Kami sudah melihat cara kami bermain menentang pasukan besar, kami tidak perlu berselindung lagi.
“Kami memberikan saingan sengit kepada pasukan besar jadi kami tidak boleh terlalu merendah diri. Akan ada yang menang dan kalah… malangnya hari ini kami bukanlah pasukan yang menang,” katanya.-AFP