PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal berdepan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jika isu tunggakan gaji pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) terus berulang dan gagal dihentikan badan induk bola sepak negara itu.
Amaran itu disuarakan pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berikutan kes terbaru melibatkan kapten Kuala Lumpur (KL) City, Paulo Josue yang dilaporkan tidak dibayar gaji sejak Disember tahun lalu.
Jelas Pekan, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku penganjur Liga M, perlu menyelesaikan masalah berkenaan sebelum FIFA mengambil tindakan terhadap Malaysia.
Pekan berkata FIFA menerusi Fifa Fund for Football Players (FFP) sebelum ini pernah mempunyai rekod menyelesaikan isu tunggakan gaji melibatkan pemain Liga M dan masalah sama kembali berulang.
“FIFA memerlukan justifikasi yang kuat seperti laporan daripada pemain untuk membolehkan tindakan diambil. Saya juga percaya akan ada tindakan daripada FIFA.
“Keadaan Liga M semakin buruk dan ia membimbangkan. Melainkan tindakan segera dan tegas diambil oleh pihak berkepentingan dalam liga dan FAM. Kita berisiko berdepan sekatan daripada FIFA susulan masalah pembayaran gaji tidak dapat diselesaikan.
“FIFA tidak akan mengambil tindakan penganjur liga tetapi badan induk negara itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut peraturan FIFA, negara anggota boleh digantung kerana salah urus kewangan.
Sementara itu, meskipun pelbagai inisiatif dilakukan MFL dan juga FAM untuk mengekang masalah berkenaan namun saban tahun isu berkenaan terus menghantui beberapa pasukan.
Kedegilan pasukan-pasukan bertanding berbelanja melebihi kemampuan dimiliki menjadi faktor utama masalah tersebut berterusan berulang, selain janji manis penaja-penaja yang tidak ditunaikan.
Justeru, kesalahan ini tidak hanya perlu ditunding kepada MFL atau FAM tetapi kelab-kelab bertanding perlu memastikan dana yang diperolehi dibelanjakan secara berhemah supaya isu tunggakan gaji dapat dielakkan.-UTUSAN