PETALING JAYA:Isu mutu pengadilan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) terus dipandang ‘buruk’ oleh peminat-peminat bola sepak tempatan berikutan beberapa insiden berlaku dalam beberapa perlawanan Liga Super terutamanya.
Berikutan itu, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertindak pantas untuk menangani isu mutu pengadilan yang sering dipersoalkan oleh peminat bola sepak tempatan.
“Memang saya nampak kehangatan yang disuarakan oleh peminat bola sepak sekarang ini terhadap mutu pengadilan kita. FAM perlu melihat perkara ini dengan serius,” kata Pekan kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu,beliau juga mencadangkan agar pengadil yang lemah diwajibkan menjalani kursus latihan semula dan penilaian dilakukan oleh pemerhati luar dari Persatuan Bolasepak Antarabangsa(FIFA) untuk memastikan keadilan dalam pengadilan.
“Kita harap benda ini tidak wujud tetapi jika wujud, ia adalah satu isu besar yang boleh sampai kepada FIFA. Kita perlu perbetulkan segera supaya mutu pengadilan kita diiktiraf dan tidak dipertikaikan,” ujarnya.
Turut senada dengannya, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Sadek Mustafa, berkata penggunaan VAR yang sepatutnya membantu pengadil membuat keputusan yang tepat tetapi sebaliknya berlaku.
“Dengan adanya VAR, sepatutnya pengadilan lebih tepat dan adil. Namun, ada banyak keputusan yang dilihat meragukan dan tidak selaras dengan undang-undang yang digariskan.
“Pengadil perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja diperhatikan oleh pegawai perlawanan tetapi juga oleh seluruh peminat yang mempunyai akses kepada tayangan ulangan,” kata Sadek.
Beliau juga mengingatkan bahawa persepsi negatif terhadap kualiti pengadilan boleh menjejaskan imej Liga Malaysia di mata dunia.
“Jika kita tidak mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, ia akan memberi kesan buruk jangka panjang kepada liga dan juga imej bola sepak negara,” tegasnya.
Kapsyen
INSIDEN kad merah pemain Terengganu FC Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili yang dikatakan mengasari penyerang JDT Bergson Da Silva (tengah) dalam pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim semalam.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI