Isu gaji Josue, KL City janji selesaikan

Isu gaji Josue, KL City janji selesaikan

KAPTEN KL City, Paolo Josue boleh menarik nafas lega apabila pihak pengurusan bersedia membayar tunggakan gajinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kapten Kuala Lumpur (KL) City, Paolo Josue boleh menarik nafas lega selepas mengadakan rundingan bersama majikannya mengenai isu tunggakan gaji yang dihadapinya.

Pemain naturalisasi itu berkata majikannya telah mengemukakan cadangan mengenai kaedah untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan kelmarin.

Menurut Josue yang berasal dari Brazil perbincangan tersebut hanya melibatkan dirinya dan majikannya tanpa mengetahui tunggakan gaji yang turut dihadapi oleh rakan sepasukan.

“Kelmarin majikan ada memberi cadangan mengenai penyelesaian tunggakan gaji dan saya perlu menelitinya sebelum menyatakan persetujuan. Saya harap semua berjalan dengan lancar.

“Saya juga berharap gaji pemain lain dibayar segera seperti dijanjikan. Setidak-tidaknya pemain ada sesuatu untuk dimakan. Sekarang semua orang bertungkus-lumus dengan keadaan kewangan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Minggu lalu, pemain berusia 35 tahun itu mendakwa dia tidak menerima bayaran daripada majikannya selama tujuh bulan. Malah, Josue turut mendakwa dia terpaksa menjalani kehidupan hariannya menggunakan wang simpanannya.

Josue turut berkata dia ada berjumpa dengan majikannya bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji dan bersedia untuk berunding namun perkara itu tidak berlaku sehinggalah dia mendedahkan isu tersebut kepada umum sebelum perbincangan dibuat.

Katanya, walaupun berdepan masalah tunggakan gaji namun dia tidak mempunyai perancangan meninggalkan KL City hanya disebabkan isu tersebut meskipun ada pihak cuba mendapatkan khidmatnya.

“Saya tidak mahu tinggalkan pasukan dan negara ini. Saya tidak mahu berpindah ke kelab lain. Kelab bagi komitmen untuk bayar saya dan saya masih ada kontrak dua tahun.

“Saya nak gaji dibayar pada masanya dan jika majikan ada isu mereka boleh bayar secara ansuran…saya tiada masalah. Ada kelab lain telefon saya tetapi saya tidak berminat. Hati saya di sini dan mahu bersara di sini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya