Israel perlu 10,000 tentera tambahan hadapi perang Gaza

Israel perlu 10,000 tentera tambahan hadapi perang Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengumumkan pasukan tenteranya memerlukan 10,000 askar tambahan segera di tengah-tengah perang berterusan di Gaza.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Radio Tentera yang merujuk pengumuman Gallant semasa sesi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan Knesset, pada Isnin.

Beliau berkata, tentera Israel boleh merekrut 4,800 askar daripada lelaki Yahudi ultra-Ortodoks.

Ini susulan keputusan sebulat suara oleh Mahkamah Agung Israel minggu lalu, orang Yahudi ultra-Ortodoks mesti tertakluk kepada draf tentera, mengakhiri dekad pengecualian mereka daripada perkhidmatan.

Dalam keputusan penting yang boleh memberi kesan ketara kepada politik Israel, Mahkamah Agung negara itu sebulat suara memutuskan orang Yahudi ultra-Ortodoks mesti dimasukkan dalam draf tentera.

Semua sembilan hakim bersetuju tiada asas undang-undang bagi kerajaan untuk mengecualikan pelajar Haredi Yeshiva daripada perkhidmatan tentera.

Selain itu, mahkamah juga memutuskan kerajaan tidak boleh memberi sokongan kewangan kepada sekolah pelajar Yeshiva tanpa pengecualian perkhidmatan tentera.

Lapor The Times of Israel, dianggarkan 67,000 lelaki Haredi layak untuk menyertai perkhidmatan tentera.

Sementara itu, Saluran 12 Israel melaporkan tentera baru-baru ini, mengiktiraf krisis dalam kalangan barisan komando, dengan trend ketara pegawai berpangkat kapten dan mejar meninggalkan jawatan mereka.

Sejak perang bermula tahun lalu, kira-kira 900 pegawai meminta untuk menyemak semula pelepasan kontrak mereka.

Insiden pada 7 Oktober lalu, adalah faktor penyumbang yang ketara kepada krisis ini. 

Segelintir pegawai melaporkan mereka berasa tidak dihargai oleh masyarakat dan beberapa ahli politik.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya