PETALING JAYA: Institut Sukan Negara (ISN) bersedia menghadapi semua kemungkinan melibatkan kesihatan dan rawatan segera kontinjen negara di Olimpik Paris, dengan membawa kelengkapan perubatan secukupnya.
Persediaan itu dijadikan sebagai iktibar susulan kejadian kematian mengejut pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie yang tidak menerima rawatan segera ketika rebah akibat serangan jantung pada Kejohanan Badminton Remaja Asia, Ahad lalu.
Timbalan ketua kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Nicol David berkata, ISN akan memantau rapi kontinjen Malaysia, malah setiap acara sukan mempunyai pegawai yang dikhaskan bagi memastikan atlet berada dalam tahap terbaik sepanjang masa.
“Kita ada pasukan ISN yang sentiasa bersedia tetapi di Sukan Olimpik juga sudah tentu menyediakan pasukan perubatan mereka, ambulans akan ditempatkan di setiap venue dan itu adalah operasi standard di Sukan Olimpik.
“Di lokasi pertandingan pula, sudah tentu saya yakin kita (ISN) mempunyai peralatan defibrilator luaran automatik (AED) kerana ini adalah Sukan Olimpik, penganjur juga pasti menyediakannya.
“Pasukan kita (ISN) akan tetap membawa peralatan itu dan ISN akan dilengkapi peralatan secukupnya,” kata Nicol, ketika mengiringi CDM, Datuk Hamidin Mohd Amin melakukan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Kelmarin, Persekutuan Badminton Malaysia (BWF) menyemak semula protokol tindak balas kecemasannya berikutan kematian pemain muda China itu, Zi Jie selepas rebah di gelanggang ketika Kejohanan Remaja Asia di Indonesia, Ahad lalu.
Sementara itu, Nicol meluahkan rasa teruja kepada atlet badminton ke Olimpik Paris melakukan ujian simulasi untuk membiasakan diri dengan suasana ketika temasya empat tahun itu berlangsung.
“Kami gembira melihat atlet badminton kita (ke Paris) mengadakan persediaan sepenuhnya. Mereka melakukan simulasi yang mana ketika perlawanan berlangsung di Paris. Saya sangat teruja dapat melihat mereka melakukan simulasi itu.
“Saya lihat mereka sangat fokus dan bersedia untuk Olimpik kali ini. Mereka benar-benar memberi komitmen yang terbaik. Simulasi itu saya lihat memang amat membantu mereka menjelang ke Paris nanti,” tambahnya.-UTUSAN