KOCHI: Pihak berkuasa negara ini mengeluarkan amaran penularan virus Nipah selepas seorang budak lelaki yang dijangkiti virus berkenaan meningggal dunia, semalam.
Menteri Kesihatan Kerala, Veena George berkata, remaja berusia 14 tahun yang berasal dari Pandikkad, Malappuram di selatan India itu meninggal dunia malam tadi akibat kegagalan jantung.
“Kerajaan tempatan telah menubuhkan satu jawatankuasa dianggotai 25 ahli untuk mengenal pasti dan mengasingkan kontak rapat,” katanya seperti laporan Reuters.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perubatan Rawatan Kritikal di Hospital Aster MIMS, Dr. Anoop Kumar berkata, mangsa sebelum ini dirawat di situ dan sebanyak 214 kontak rapat termasuk 60 orang yang berisiko tinggi telah dikenal pasti.
Kumar berkata, semua kontak rapat telah dikuarantin dan ujian terhadap 13 orang daripada mereka hari ini didapati negatif.
“Kami akan meningkatkan langkah berjaga-jaga terutamanya dalam tempoh tujuh hingga 10 hari berikutnya,” ujar beliau.
Mangsa yang meninggal dunia dijangkiti virus tersebut pada 21 Julai lalu, selepas termakan buah kedondong yang tercemar.
Ini merupakan kali keempat Kerala dikejutkan dengan jangkitan virus Nipah dalam tempoh enam tahun.
Virus tersebut pertama kali dikesan kira-kira 25 tahun lalu di Malaysia sebelum menular ke Bangladesh, India dan Singapura. – AGENSI